Juadah makanan yang ada di Malaysia memang sedap, namun ramai terlepas pandang tentang kandungan makanan yang dinikmati sebenarnya boleh mendorong kepada masalah kesihatan dan obesiti.
Baru-baru ini tular sebuah video memperlihatkan seorang bayi lelaki berusia kurang tiga tahun yang masih mengenakan lampin menghabiskan satu mangkuk gulai kaki ayam bersama sepinggan nasi.
Susulan video itu, seorang Pakar Estetik Perubatan bernama Dr Kenneth Wong telah membuat video untuk menegur tindakan segelintir ibu bapa yang sanggup memberikan makanan berkolesterol tinggi dan tidak sihat kepada bayi demi konten.
Mengulas lanjut dalam satu hantaran yang dibuat di TikTok, Dr Kenneth berkata masalah kesihatan bagi anak obesiti itu berkemungkinan tidak dapat dilihat dengan ketara pada usianya muda.
Namun, anak kecil ini bakal berdepan dengan penyakit seperti tekanan darah tinggi juga kencing manis atau diabetes jika pemakanannya tidak dikawal sejak awal.
Lebih parah lagi, kanak-kanak tersebut boleh mengalami masalah kegagalan organ hati kerana tidak dapat berfungsi secara normal dan optimum disebabkan lemak berlebihan di dalamnya.
Keadaan ini dinamakan sebagai penyakit hati berlemak atau istilah saintifiknya Steatosis atau Fatty Liver Disease di mana kandungan lemak di dalam sel hati melebihi lima peratus daripada berat hati yang normal.
Oleh itu, Dr Kenneth menyarankan agar ibu bapa mengambil serius mengenai masalah obesiti dalam kalangan anak-anak mereka.
Finally someone came out with the fact.
Terbaik Dr. atas penjelasan ini. Sekarang memang nampak comel tapi impak akan datang kita taktahu pic.twitter.com/w4oGCKlrUn
— amighul deghaman (@ricxxxkiddo) April 22, 2024
Dalam pada itu, netizen turut bersetuju dengan kenyataan doktor tersebut dalam masa sama mempersoalkan tindakan ibu bapa yang sanggup membiarkan anak-anak menikmati segala jenis juadah tanpa memikirkan akibat di kemudian hari.
Selain itu, netizen mahu kerajaan mengambil perhatian dalam membanteras penyalah gunaan kanak-kanak demi konten di media sosial.