Kylian Mbappe bukan sahaja tewas pada aksi terakhirnya di Parc des Princes ketika bertemu Toulouse FC dalam saingan Ligue 1, awal pagi tadi.

Malah, terdapat segelintir penyokong Paris Saint-Germain (PSG) melepaskan kemarahan terhadapnya kerana akan meninggalkan kelab tersebut.

Baca Juga:

Selepas hampir tujuh tahun bersama pasukan, jodoh Mbappe dan kelab gergasi Perancis itu bakal sampai ke penghujung selepas bintang ternama dunia tersebut tidak menandatangani kontrak baharu.

Seperti dilaporkan sebelum ini, pemain berusia 25 tahun itu juga hampir pasti akan menyertai Real Madrid pada jendela perpindahan musim panas nanti.

Tiga hari lalu, Mbappe turut telah memuatnaik video dengan mesej perpisahan disampaikan di laman sosial peribadi miliknya.

Dalam satu video di laman Twitter milik pengulas Ligue 1, Andrés Onrubia Ramos menyaksikan Mbappe di ‘boo’ oleh segelintir penyokong PSG ketika fotonya dipaparkan ketika pengumuman barisan pemain kesebelasan utama.

Ia jelas merupakan cara segelintir penyokong meluahkan rasa ketidakpuasan hati kerana mereka pastinya tidak mahu melihat pemain bintang itu meninggalkan pasukan.

Pada ketika itu tempat duduk di Parc des Princes masih banyak kekosongan yang belum diisi penyokong.

Namun, lain pula tindakan Ultras PSG yang menaikkan ‘tifo’ gergasi dengan wajah Kylian Mbappe sebagai tanda penghargaan buat penjaring 256 gol dalam 307 penampilan itu.

Pelbagai kejayaan domestik telah dimenangi oleh Mbappe sepanjan menyarung jersi PSG tetapi impian untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini tidak kesampaian apabila tewas kepada Borussia Dortmund pada aksi separuh akhir.