Seorang saksi mendakwa telah menerima 70 mesej berunsur lucah dihantar pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew menerusi aplikasi WhatsApp kepadanya antara jam 10.57 malam hingga 12 tengah malam pada 19 April 2021, petik Berita Harian.
Wanita berusia 40-an itu selaku saksi kesembilan pendakwaan yang juga pengadu kes memberitahu Mahkamah Majistret di sini.
Baca Juga:
- Saksi Dedah Ebit Lew Ajak Tukar Pasangan Untuk Lakukan Hubungan Intim
- ‘Tidak Pasti Pengadu Ada Hantar Gambar Lucah Kepada Ebit Lew’ – Firdaus Wong
Dia berkata demikian dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, pada perbicaraan kes gangguan seksual pendakwah itu.
Memetik laporan itu lagi, wanita itu berkata walaupun ketika itu Ramadan, Ebit tetap menghantar mesej seperti itu kepadanya. Dia merasakan ayat-ayat lucah dan pujian dalam mesej itu mengaibkan kehormatannya.
“Apabila dia (Ebit) mesej macam itu, seolah-olah dia anggap perempuan ini hanya tujuan seks semata-mata,” katanya dalam pemeriksaan utama itu.
Tambahnya lagi, Ebit juga didakwa membuat panggilan telefon kepadanya dengan menggunakan bahasa lucah.
Pada prosiding hari ini, Zahida memohon pertuduhan pertama terhadap Ebit dipinda secara lisan pada bahagian waktu, iaitu dari jam 6 pagi kepada jam 8.07 pagi.
Mahkamah membenarkan pindaan itu dibuat selepas saksi memberi keterangan, iaitu kronologi kejadian dia menerima gambar kemaluan tertuduh pada 29 Mac 2021, jam 8.07 minit pagi.
Terdahulu, Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac hingga Jun 2021.
Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.