Berikutan ekonomi pada zaman sekarang yang semakin meningkat, penyewaan rumah dan penyelenggaraan pelancongan telah banyak dijadikan pekerjaan kedua dan ianya merupakan kaedah yang semakin diguna ramai untuk mendapatkan pendapatan tambahan.
Malah, menurut statistik Airbnb, semakin ramai wanita yang dilihat telah beralih ke industri pelancongan dan perhotelan untuk mendapatkan sedikit pendapatan tambahan selain pendapatan asal melalui pekerjaan.
Menurut kaji selidik yang dilakukan pada tahun lepas, tuan rumah Airbnb wanita di Malaysia berjaya memperoleh sejumlah RM159 juta untuk servis penyewaan dan pengalaman rumah.
Ini merupakan satu peningkatan yang besar sebanyak 50 peratus dari tahun 2017. Secara keseluruhannya, tuan rumah Airbnb wanita di Malaysia telah mengalu-alukan lebih 912,000 tetamu pada tahun lepas.
Menurut laporan Bernama, tuan rumah Airbnb wanita terdiri daripada separuh keseluruhan tuan rumah di Malaysia. Kebiasaannya, tuan rumah wanita di Malaysia akan memperoleh pendapatan tahunan sebanyak RM5,793.94 daripada penyewaan Airbnb.
Selain itu Airbnb melaporkan terdapat lebih ramai tuan rumah wanita daripada tuan rumah lelaki di seluruh dunia yang menjalankan servis penyewaan Airbnb.