Mayat seorang wanita muda berusia 22 tahun telah berjaya ditemui pada hari Ahad lalu di sebuah taman nasional Wyoming di Amerika Syarikat. Gabby Petito dilaporkan hilang sejak 14 September setelah mula mengembara mengelilingi AS menggunakan van bersama dengan tunangnya, Brian Laundrie.
Kronologi kes yang membabitkan Gabby bermula pada bulan Julai apabila dia dan tunangnya meninggalkan rumah ibu bapa Laundrie di North Port, Florida dengan van jenama Ford Transit 2012 berwarna putih. Mereka memandu ke utara untuk ke kota New York bagi menghadiri acara di sekolah abangnya Gabby.
Pada 2 Julai pula, mereka meninggalkan New York dan menuju ke barat dalam perjalanan untuk melihat-lihat negeri di sekitar Amerika Syarikat. Gabby juga telah bertindak mendokumentasikan perjalanan mereka ini dengan menggunakan laman media sosial seperti Instagram dan YouTube.
Semasa perjalanan, pasangan ini telah singgah ke Kansas, Colorado dan Utah termasuk berhenti di beberapa taman negara dari 4 Julai hingga 22 Julai. Dalam satu gambar yang dimuat naik oleh Gabby, kelihatan dia gembira dengan rancangan mereka untuk mengembara ke seluruh AS. Manakala pada 26 Julai hingga 31 Julai pula, kelihatan Gabby dan tunangnya berada di Utah.
Namun, apabila memasuki bulan Ogos. Perubahan sikap dan sikap aneh dapat dirasa apabila Gabby tidak lagi memuat naik apa-apa kemas kini terbaharu sehinggalah pada 12 Ogos di mana Gabby menyiarkan gambar mereka berdua berada Taman Nasional Arches dengan kapsyen ‘pagi yang tenang’.
Menurut laporan Reuters, pada tarikh yang sama juga pasangan ini ditahan di tepi jalan selepas polis mendapat laporan dari orang awam yang melihat mereka bertengkar di hadapan Koperasi Komuniti Moonflower di Moab, Utah. Pelapor memberitahu polis bahawa Laundrie telah bertindak kasar dan menampar Gabby. Melalui video yang dikeluarkan oleh pihak polis, kelihatan Gabby menangis sambil menjelaskan apa yang terjadi di antara dia dan tunangnya.
Pada 19 Ogos dan 25 Ogos, Gabby memuat naik gambar ke laman Instagram miliknya buat kali terakhir, namun tiada lokasi yang diberikan. Ibu kepada Gabby, Nicole Schmidt dilaporkan bercakap dengannya buat kali terakhir dan dia memberitahu ibunya bahawa mereka dalam perjalanan menuju ke Taman Nasional Grand Teton di Wyoming.
Laundrie akhirnya pulang ke North Port, Florida dengan menaiki van putih pada 1 September. Namun tiada kelibat Gabby kelihatan bersamanya. Keluarga Gabby yang tidak berpuas hati telah bertindak melaporkan kehilangan anaknya kepada pihak polis 10 hari selepas Laundrie pulang.
Polis yang datang ke rumah keluarga Laundrie untuk mendapatkan kenyataan tunangnya telah dihalang oleh keluarga Laundrie. Mereka membuat kenyataan yang menyatakan bahawa Laundrie telah mendapatkan khidmat seorang peguam dan tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan kepada pihak berkuasa.
Namun pada 17 September, keluarga Laundrie melaporkan kehilangannya kepada pihak polis. Dalam kenyataan keluar Laundrie, mereka mendakwa bahawa anak mereka sudah tiga hari tidak pulang setelah keluar untuk mendaki bukit disekitar gurun Carlton Reserve.
Dua hari selepas itu, pada 19 September, pihak polis berjaya menemui mayat seorang wanita di Hutan Bridger-Tenton di Wyoming. Melalui siasatan yang dilakukan oleh pihak polis di tempat kejadian, difahamkan bahawa mayat itu adalah milik Gabby dan kematiannya diklasifikasikan sebagai pembunuhan.
Setakat hari ini, masih belum ada apa-apa laporan daripada pihak hospital bagaimana Gabby dibunuh. Namun perbincangan mengenai kes ini sudah pun dimulakan oleh para netizen dan kini FBI sedang giat mencari Laundrie, individu terakhir yang bersama dengan Gabby.
Februari lalu, seorang lelaki dituduh membunuh isterinya yang hamil 7 bulan semasa sedang mendaki di tebing bukit. Klik pautan di bawah untuk membaca.
Suami Sempat ‘Selfie’ Dengan Isteri Hamil 7 Bulan Sebelum Menolaknya Jatuh Dari Tebing Bukit
Kemurungan Akibat ‘Lockdown’, Lelaki Ini Campak Isterinya Dari Tingkat 7