Marvel mengejutkan peminat komik dengan memperkenalkan watak baharu dalam siri X-Men terbaru mereka iaitu Sofia Yong —dan kali ini, ia adalah seorang rakyat Singapura, lapor Straits Times.
Dikenali sebagai Sofia Yong, watak ini pertama kali muncul dalam ‘Uncanny X-Men #1’ yang diterbitkan pada Rabu, 7 Ogos lalu.
Apa yang menarik tentang Sofia, yang menggunakan nama samaran “Jitter,” ialah keupayaan istimewanya yang dipanggil “Hyper-Focus.”
Dengan kuasa ini, Sofia mampu menguasai apa sahaja kemahiran atau bakat yang dia fokuskan, tanpa perlu latihan bertahun-tahun seperti orang biasa.
Namun, kuasa ini datang dengan harga yang tinggi. Jika digunakan terlalu lama, Sofia akan mengalami keletihan yang melampau.
Watak Sofia juga digambarkan sebagai seseorang yang sentiasa bergerak.
Dengan jam di tangannya, dia tidak pernah membiarkan dirinya berhenti, “walaupun untuk tidur.”
Ini menjadikannya sangat relatable kepada gaya hidup orang Singapura yang sentiasa sibuk dan produktif.
Pengenalan Sofia Yong telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan pengguna Reddit, khususnya dari Singapura.
Ramai yang merasakan bahawa kuasa dan personaliti Sofia adalah sangat “Singapura”.
Seorang pengguna Reddit menyifatkan Sofia sebagai “ultimate student,” merujuk kepada budaya belajar yang intensif di Singapura.
Beberapa pengguna lain bergurau, mengatakan bahawa Sofia tidak akan mencuba untuk mencuri tulang agar tidak dituduh “lepak” atau mengelak dari bekerja.
Ada juga yang pada mulanya menyangka watak ini hanyalah satira, sebelum menyedari bahawa Sofia adalah watak sebenar dalam dunia Marvel.
Dalam isu kedua komik ini yang dijadualkan keluar pada September, Sofia Yong akan berhadapan dengan watak X-Men yang terkenal, Gambit.
Ini pastinya akan menjadi satu pertempuran yang dinantikan oleh peminat Marvel.
Dengan kuasa yang sangat ‘on brand’ dengan budaya kerja keras Singapura, Sofia Yong bukan sekadar watak baharu dalam Marvel, tetapi juga cerminan unik terhadap realiti masyarakat Singapura yang penuh dengan tekanan.