Xavi Hernandez memberikan amaran kepada penggantinya di Barcelona bahawa tugasan membimbing kelab tersebut bukan kerja mudah.

Mula memegang jawatan panas itu pada November 2021, Xavi terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat kelab yang cukup sinonim dengan dirinya ekoran prestasi terumbang-ambing tanpa sebarang piala pada musim 2023/24.

Baca Juga:

Barcelona berada di kedudukan kedua, ketinggalan 10 mata di belakang seteru utama, Real Madrid yang muncul selaku juara liga.

The Blaugrana mencatatkan 26 kemenangan, tujuh keputusan seri dan lima kekalahan dalam kempen liga dan hanya melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Copa del Rey.

Keadaan yang menyebabkan Xavi terpaksa meninggalkan kelab itu dan kini Hansi Flick dikatakan merupakan calon utama untuk mengisi kekosongan tersebut.

Malah Presiden Barcelona, Joan Laporta turut dikatakan cukup berminat untuk membawa masuk bekas pengendali Bayern Munich dan skuad kebangsaan Jerman itu ke dalam pasukan.

Namun, Xavi ada peringatan khas buat Flick atau mana-mana pengurus baharu yang akan dilantik Barcelona nanti.

“Kepada pengurus baharu, saya bagitahu anda bahawa anda akan menderita, ini merupakan satu tugas yang sukar dan anda perlu bersabar.”

“Saya mengambilalih pasukan ketika mereka berada di tempat kesembilan, menamatkan saingan di kedudukan kedua. Kemudian memenangi liga pada musim berikutnya.”

“Saya merasakan kerja kita masih tidak dihargai sepenuhnya,” ujar Xavi menurut sumber laporan Goal.

 

Sumber