Mulai diperkenalkan pada tahun 1985, Yamaha RX-Z berjaya pilihan sejumlah besar anak muda yang mahu mendapatkan motosikal penuh dengan gaya.
25 tahun dalam pasaran serta diberhentikan pengeluaran pada tahun 2010, model ini masih lagi menjadi rebutan ramai sehingga kini. Malah, siapa sangka, model ini sekali lagi menjadi fenomena sejak akhir-akhir ini menerusi anjuran pelbagai acara-acara yang diadakan.
Baca Juga:
- ‘Swap’ RX-Z Dengan Tanah Lot Di Kelantan, Tindakan Penjual Ini Buat Netizen Terkejut
- Mahu Jual RX-Z RM20,000 Untuk Bina Surau, Lelaki Ini Mencari ‘Sahabat Saham Akhirat’
- Jelajah Seluruh Negara Cari Alat Ganti, Pemuda Ini Buka Mulut Cabaran Bina Semula RX-Z RM70,000
Menjadi ‘kegilaan’ para peminat, model ini turut menjadi saksi di mana terdapat pembeli sanggup tukar tanah lot demi mendapatkan Yamaha RX-Z. Tidak kurang juga yang sanggup melepaskannya dengan harga mencecah RM70,000.
Siapa sangka pada tahun 2023 ini, harga jualan semula Yamaha RX-Z terus melambung tinggi apabila seorang pengguna Facebook Muhammad Imran sedia melepaskan Yamaha RX-Z Catalyzer keluaran tahun 2002 dengan harga mencecah RM120,000.
Ditawarkan dengan harga seakan kereta sedan dari Jepun, Yamaha RX-Z berwarna merah ini difahamkan mempunyai nilai yang tinggi berikutan statusnya yang belum didaftarkan lagi. Penawaran harga yang tinggi ini sekaligus menjadi antara model RX-Z dengan harga tertinggi pernah ditawarkan setakat ini.
Menerusi perkongsian penjual ini, beliau turut menawarkan sebuah lagi model Yamaha RX-Z beserta aksesori lain dengan harga RM75,000 yang sudah ‘dirisik’ pembeli baharu. Selain itu, harga coverset bagi model ini turut ditawarkan pada harga sekitar belasan ribu ringgit.
Harga yang ditawarkan mungkin agak tinggi buat bukan para peminat, namun buat peminat yang mahukan sebuah model Yamaha RX-Z Catalyzer yang belum pernah didaftarkan, mungkin ini harga yang perlu anda bayar untuk memilikinya.