Kerjasama antara Malaysia dan Singapura untuk membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kini membuatkan jiran terdekat tidak senang duduk diam.

Dengan termeterainya perjanjian ini pada 7 Januari 2025 di Putrajaya, ia menunjukkan kesungguhan kedua-dua negara untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi serantau.

kuih raya
HYPE
Dari Dapur Nenek Ke Dapur Moden: Kuih Raya Tradisi Dengan Elemen Inovatif
Baca lagi →

Projek itu melibatkan gabungan kekuatan Malaysia sebagai penyedia sumber asli dan tenaga kerja yang berdaya saing, dan kedudukan Singapura sebagai pusat kewangan global.

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, mengetuai usaha itu pada sidang kemuncak pemimpin kedua-dua negara.

Bagaimanapun, Airlangga Hartarto, Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, tidak terlepas daripada memberikan ulasan.

Menurutnya, seperti dipetik media Antara News, Malaysia dan Singapura nampaknya cuba meniru kejayaan Indonesia membina Zon Ekonomi Khas khususnya dalam sektor mineral kritikal.

“Malaysia telah melihat kejayaan kita dalam menubuhkan beberapa SEZ, terutamanya dalam sektor mineral kritikal. Kini mereka cuba menerapkan konsep yang sama termasuk dalam bidang inovasi digital seperti AI dan pengkomputeran awan,” kata Airlangga.

SEZ Johor-Singapura terletak bersebelahan dengan SEZ Batam dan SEZ Galang Batang di Kepulauan Riau, Indonesia.

Kawasan itu akan memberikan persaingan langsung kepada SEZ Indonesia, yang telah lama menarik pelabur global.

Laporan oleh Nomura, yang disusun oleh Penganalisis Penyelidikan Tushar Mohata, berkata JS-SEZ mempunyai potensi besar untuk menarik syarikat yang ingin mengurangkan risiko beroperasi di negara ASEAN lain seperti Vietnam dan Indonesia.

“Gabungan status Singapura sebagai pusat kewangan global dan infrastruktur kompetitif Johor menjadikan rantau ini pilihan pelaburan yang menarik. Rangkaian pengangkutan seperti Pautan RTS Johor-Singapura dan ART/LRT Johor juga menambah nilai,” kata laporan itu.

Airlangga mengakui Indonesia tidak boleh menghalang negara lain daripada meniru dasar pembangunan SEZ.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Indonesia perlu bersedia untuk bersaing.

“Ancaman ada di mana-mana, tetapi kami perlu bersaing. Itu kuncinya,” kata Airlangga.