Nota Editor: Perkongsian menarik ini telah dikirimkan oleh pembaca Vocket bernama Ahmad Wazir melalui email. Kami kongsikan semual di sini untuk tatapan anda. Semoga ia dapat sedikit sebanyak memberi gambaran bagaimana tanggapan masyarakat luar khususnya dari Timur Tengah tentang budaya di negara kita. 

Kami kongsikan 2 catatan di sini. Pertama adalah dari pengirim email iaitu Wazir, dan ke 2 adalah coretan pengalaman dari Ahmed, warga Iraq yang telah datang ke Malaysia untuk melancong.

iraq-2

Salam,

Saya perkenalkan diri terlebih dahulu, nama diberi Ahmad Wazir Aiman bin Mohd Abd Wahab. Saya merupakan seorang pelajar perubatan di HUKM, Cheras.

Di waktu cuti saya akan sertai aktiviti sukarela di Petrosains. Namun yang demikian cerita yang ingin saya kongsi ini bukanlah cerita tentang saya. Ia tentang 2 adik-beradik dari Iraq yang datang bercuti ke Malaysia.

Terserempak dan berkenalan di Petrosains, saya bawa mereka untuk mengalami sambutan hari raya di Malaysia dengan membawa mereka berjalan raya.

Kesannya?

Sungguh menarik perbezaan budaya dan pemahaman Aidil Fitri kita dengan masyarakat Timur Tengah. Ahmed, pelancong tersebut yang juga merupakan pelajar perubatan di Basra Colleg di Iraq telah menulis entry yang ingin beliau kongsikan, iaitu pengalaman beliau.

iraq-8

Nama saya Ahmed, berusia 19 tahun dari Iraq. Saya berkunjung ke Malaysia selama 15 hari untuk bercuti tapi apa yang saya temui di sini bukan hanya sekadar melihat bangunan-bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur mahupun keindahan Langkawi, tetapi juga mengembalikan kepercayaan saya tentang nilai kemanusiaan.

Melayan orang asing dengan baik, sikap toleransi yang tinggi dan saling menghormati meskipun berbilang bangsa, mesra dan ramah – inilah yang telah saya temui di Malaysia. Yang pasti, saya mahu kunjungi negara ini lagi.

Bertemu dan berkenalan dengan Wazir di Suria KLCC merupakan titik permulaan kepada segalanya. Saya dan adik membeli tiket masuk ke Petrosains.

iraq-5

Kami berdua sangat teruja sebaik saja tiba di sini kerana Malaysia merupakan satu negara yang baru bagi kami, menghidangkan budaya yang berbeza sama sekali.

Wazir merupakan insan yang telah membawa saya mengenali cara hidup rakyat Malaysia dengan lebih dekat. Beliau juga seorang yang bijak dan merupakan sukarelawan di Petrosains.

Perkenalan kami dan Wazir berlaku sewaktu kami sedang meneliti permainan blok fizik. Beliau datang kepada kami dan menerangkan tentang hukum fizik di sebalik permainan itu sehingga kami faham.

Kami berbual selama 20 minit dan akhirnya barulah kami tahu bahawa saya dan Wazir rupanya adalah pelajar dibidang perubatan. Ia sesuatu yang mengujakan bagi saya meskipun dari segi usia, saya setahun lebih muda daripada Wazir. Kami terus add satu sama lain di Facebook dan bertukar nombor telefon.

2 hari kemudian kami chatting di Facebook dan Wazir mengajak saya dan adik mengikutnya ke satu majlis keraian yang dikatakan sesuatu yang lazim di negara ini di sepanjang bulan Syawal – open house raya, sesuatu yang agak asing bagi kami kerana Aidil Fitri sudah berlalu lebih dari seminggu, dan kami di Timur Tengah meraikannya dalam tempoh yang singkat.

iraq-4

Aidil Fitri di tempat kami hanya diraikan dalam 1 hari, dan sebenarnya selama 1 jam sahaja iaitu sejam sebelum solat Aidil Fitri yang mana kami akan letakkan makanan di luar rumah untuk dijamu kepada mereka yang dalam perjalanan ke masjid.

Sebaik saja khutbah selesai dibacakan, kami akan pulang ke rumah. Tetapi di Malaysia ia berlainan sama sekali di mana Syawal diraikan selama sebulan.

Sebagai seorang yang meminati kepelbagaian budaya dan agama, kami bersetuju untuk ikut Wazir, dan kami tak sangka dalam masa  satu hari ia bakal memberikan kami sesuatu yang sangat bermakna.

Sebelum ini kami tak pernah ada pengalaman di bawa ke sana ke mari oleh penduduk tempatan sewaktu travel, apatah lagi dilayan bagaikan keluarga sendiri dengan penuh mesra.

Beribu batu jauh dari kampung halaman sendiri tapi satu persamaan yang nyata – Islam, dan itu cukup untuk kami rasa seperti satu keluarga. Pada jam 10 pagi perjalanan kami ke Negeri Sembilan bermula.

iraq-3

Saya dan adik masih clueless dan teruja di sepanjang perjalanan kerana sebelum ini kami tak pernah dengar perkataan ‘Open House‘ di tempat kami di Timur Tengah.

Kami juga tiada perayaan seperti ini. Di tempat kami keluarga dan kawan-kawan dijemput ke rumah hanya sewaktu meraikan perkahwinan dan sambutan hari jadi.

Saya sangat sukakan tradisi ini, dan saya harap kami juga ada sambutan seperti ini di Timur Tengah sebab ia benar-benar memaparkan nilai-nilai Islam dalam menjalin ukhuwah dan silaturrahim.

Sewaktu di rumah pertama, kami agak berdebar dalam waktu yang sama teruja kerana akan berkunjung ke rumah seseorang yang tidak pernah kami kenali sebelum ini, 7000 km dari rumah sendiri.

Sekali lagi, keluarga ini mengejutkan saya dengan keramahan mereka. Saya rasa selesa dan sangat diraikan.

Budaya dan cara bersalam di sini sangat menarik minat saya. Mereka yang lebih muda akan mencium tangan yang lebih tua sewaktu bersalaman sebagai tanda hormat.

Kami dapat memahami cara bersalam ini dengan mudah dan cepat, dan saya serta adik lakukan perkara yang sama sewaktu bersalaman dengan ibu bapa sahabat Wazir.

Saya dapat rasai ia adalah satu cara yang mudah dan betul bagi menunjukkan rasa hormat kepada mereka yang lebih dewasa dan berusia dari kita. Di Timur Tengah, kami hanya mencium dahi sebagai tanda hormat.

iraq-9

Kemudian, datang pula bahagian yang paling menarik di Malaysia ini – makanan. Hidangan  yang namanya tak pernah saya dengar sebelum ini menjadikan saya tidak sabar untuk mencuba makanan tradisional di sini.

Rendang, kuah kacang dan nasi impit (menurut Wazir ia adalah nasi yang dimampatkan). Semuanya sedap! Saya sangat sukakannya dan cuba makan dengan cara saya sendiri iaitu makan nasi impit kosong.

Mereka ketawakan saya kerana sepatutnya nasi impit dimakan bersama kuah kacang, dan bila saya cuba, rasanya lebih sedap! Redang juga sangat sedap, terutamanya rendang ayam.

Apabila mereka katakan makanan Malaysia memang terbaik, mereka sebenarnya tak tipu. Hinggakan saya berhajat untuk beli makanan begini dan bawa pulang ke Iraq. Sewaktu kami mahu bergerak tinggalkan rumah pertama, kami diberikan satu sampul surat yang buat saya terpegun sejenak.

iraq-7

Wazir memberitahu sampul surat itu berisi duit. Memang menakjubkan, dapat rasa makanan yang sedap dan dapat duit juga?

Kami kemudian beransur ke Kuala Lumpur untuk ke rumah ke 2 pula, iaitu rumah guru Wazir diwaktu sekolah dahulu. Wazir juga sempat menunjukkan sekolah lama beliau yang mempunyai bangunan yang besar.

Sebelum tiba di Cyberjaya, Wazir membawa kami melawat di sekitar Putrajaya dan berhenti di beberapa tempat termasuk di satu jambatan yang merentasi sebuah tasik.

Bangunan di Putrajaya semuanya cantik-cantik. Akhir sekali, kami singgah dan solat di sebuah masjid yang besar dan menakjubkan – Masjid Besi, itulah nama yang Wazir beritahu kepada kami.

iraq

Satu perkara yang saya dan Wazir sangat gemari adalah bertukar pengetahuan. Disebabkan Bahasa Arab adalah bahasa utama saya, kami sering berbincang tentang surah di dalam Al Quran dan makna di sebalik setiap ayat serta cara yang betul untuk membacanya, hingga kepada kes-kes yang lebih serius dan berat seperti ISIS dan bagaimana ia telah memberi kesan kepada negara kami.

Sewaktu tiba di rumah ke 3, lagi sekali, jika ada perkara yang paling saya ingati adalah bagaimana ramah dan mesranya orang-orang Malaysia kepada kami tanpa mengira dari mana kami berasal. Kepelbagaian bangsa adalah sesuatu yang normal d sini dan saya sukakannya.

Kami rasa seperti sangat diraikan. Rumah ke 3 juga sangat menarik bukan hanya kerana ia adalah rumah pelajar Wazir (Wazir mengajar kelas tuisyen secara sambilan), tetapi kerana bapa kepada pelajar Wazir ini pernah ke Iraq.

Beliau ke Iraq pada tahun 2002 dan menunjukkan kepada kami gambar-gambar pemandangan di Iraq yang cantik dan kelihatan aman sewaktu di zaman pemerintahan Saddam. Kami berbicara soal politik dan betapa banyak negara kami telah berubah sejak 20 tahun lepas, tentang ISIS dan bagaimana Iraq telah jauh ketinggalan sejak perang meletus.

Ianya adalah perbualan yang santai sambil saya melihat gambar-gambar di Iraq pada satu ketika dulu hingga saya tidak sedar masa yang pantas berlalu.

iraq-6

Kunjungan paling akhir  kami di rumah ke 4 buat kami sedar betapa orang-orang di Malaysia sangat sukakan haiwan terutama kucing. Sahabat Wazir telah memelihara kucing besar yang berbulu tebal dan comel.

Kami tidak begitu dekat dengan kucing di Iraq dan kucing-kucing di sana jarang yang kelihatan besar dan bersih. Ia satu pengalaman yang menarik bagi kami.

Dan dengan melihat budaya di negara ini dengan lebih dekat, tak dapat saya bayangkan kunjungan ini merupakan sesuatu yang sangat menarik dan berbekas di hati saya, meskipun ia hanya sekadar dalam sehari, lebih tepat lagi selama 10 jam.

Baca lagi: Keindahan Syria Satu Ketika Dulu Sebelum Perang


LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram