Ramai yang bertanyakan tentang bahasa yang digunakan oleh orang Melayu disini, adakah mereka masih boleh bercakap bahasa Melayu?

Jawapan saya, ya. Cuma tidak begitu fasih seperti datuk dan nenek moyang mereka.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Hal ini kerana, apabila mereka dibawa ke Capetown, mereka tidak dibenarkan bercakap bahasa Melayu kerana bimbang akan merancang untuk menentang Belanda ketika itu. Sekiranya didapati bercakap bahasa Melayu, mereka akan di pukul dan diseksa oleh tuan mereka.

Antara perkataan Melayu yang masih digunakan hingga kini ialah ‘Trema Kasie’ (Terima kasih) yang akan dibalas dengan Kanala (‘Kerana Allah’ atau ‘Kasih kerana Allah’), Pierieng (Piring), Burjanji (Berzanji), Kufiyah (kopiah), Maaf (biasanya untuk ‘excuse me’ atau ‘sorry’), Jamang (Jamban), Baiedanki (‘banyak’ terima kasih) dan sebagainya.

Ada juga perkataan Melayu yang digunakan khusus merujuk Al Quran seperti ‘Kitab‘, ‘Tamat’ (khatam Quran atau tamat belajar agama) dan ‘Baca’ yang merujuk membaca Al Quran.

Malah kebanyakan perkataan Melayu banyak mempengaruhi bahasa Afrikaan yang digunakan di Capetown namun tidak disedari oleh generasi kini kerana menyangka ia adalah bahasa Afrikaan, tetapi sebaliknya berasal dari bahasa Melayu.

Permulaan Orang Melayu Capetown

Orang Melayu di Capetown mula tiba di Capetown apabila Belanda menangkap orang-orang Melayu yang menentang Belanda di kepulauan Melayu.

Saya tidak begitu arif sepenuhnya tentang sejarah kedatangan mereka kerana kedatangan mereka adalah secara berperingkat. Namun kebanyakan mereka tiba seawal kurun ke 17 dan ada juga yang berlayar ke Capetown mengikut kapal dagang sekitar kurun ke 19.

Namun oleh kerana pihak penjajah tidak membenarkan orang Melayu untuk keluar dari Capetown selama 300 tahun lebih maka hubungan orang Melayu disini terputus sehingga berakhirnya Apartheid.

Namun, ada juga orang Melayu yang cuba mencari semula keluarga dan warisan mereka antaranya host saya, Abdullah Waggie di mana datuk dan bapanya berasal dari Surabaya.

Antara Ulama Di Capetown

Menariknya ada juga ulama seperti Sheikh Yusuf yang menjadi ‘political exile’ yang mendapat keistimewaan khas untuk tinggal di sebuah ladang di Zandvleit dan ‘bebas’ bergerak dalam kawasan yang terhad.

Sheikh Yusuf tidak datang berseorangan tetapi bersama 49 orang yang lain yang terdiri daripada ahli keluarga, pengikut dan hamba-hambanya.

Beliau dibuang ke Capetown kerana menentang Belanda dan berasal dari Makassar, beliau juga merupakan anak saudara kepada Sultan Alauddin dari Gouwa (kini Makassar,Indonesia).

Beliau disambut oleh Gabenor Cape ketika itu Simon van der Stel, dan dibawa ke ladang Zandvleit yang menjadi tempat beliau menyebarkan Islam. Hingga kini, kawasan ini masih di panggil Macassar.

Kubur Tuan Guru Abdus Salam
Kubur Tuan Guru Abdus Salam

Selain itu, terdapat juga tokoh ulama seperti Tuan Guru Abdus Salam yang telah dipenjarakan di Robben Island yang merupakan penjara yang sama Nelson Mandela dipenjarakan ketika zaman Apartheid pada tahun 1964.

Masjid terawal di Capetown, Bo Kaap, di mana Tuan Guru mendirikan madrasah dan mengajar agama Islam.
Masjid terawal di Capetown, Bo Kaap, di mana Tuan Guru mendirikan madrasah dan mengajar agama Islam.
Al Quran yang ditulis oleh Tuan Guru, bertulis tangan semasa dipenjarakan di Robben Island yang disimpan oleh Masjid Auwal.
Al Quran yang ditulis oleh Tuan Guru, bertulis tangan semasa dipenjarakan di Robben Island yang disimpan oleh Masjid Auwal.

Menariknya, ‘Tuang Guru’ @ Tuan Guru menulis manuskrip Al Quran ke dalam bahasa Arab dan Jawi yang beliau hafal semasa di dalam penjara. Hal ini kerana beliau juga seorang hafiz al Quran.

Waris Tuan Guru Abdus Salam
Waris Tuan Guru Abdus Salam

Walaubagaimanapun, saya dibawa bertemu salah seorang waris Tuan Guru iaitu Mutaqqin (tiga dari kiri) yang merupakan generasi kelima kepada salah seorang anak Tuan Guru.

Beliau memberitahu bahawa Tuan Guru merupakan imam terawal di Capetown dan mengajar di Masjid Auwal, di Bo Kaap yang merupakan penempatan orang Melayu terawal.

Beliau membina madrassah untuk mengajar islam sebaik dibebaskan dari penjara sehingga ia diterima sebagai sebahagian dari sistem pendidikan ketika itu.

Mutaqqin sendiri boleh bercakap bahasa Melayu kerana banyak bergaul dengan orang Melayu dari Indonesia semasa belajar di luar negara dan beliau juga mempunyai master dari Universiti Kebangsaan Malaysia mengenai Pengaruh Bahasa Melayu dalam Bahasa Afrikaan.

3 manuskrip yang di tulis tangan sekitar kurun ke 18.
3 manuskrip yang di tulis tangan sekitar kurun ke 18.

Saya juga berpeluang melihat 3 manuskrip yang di tulis tangan sekitar kurun ke 18 yang disimpan di National Library South Africa.

Namun penulisnya tidak diketahui kerana peribadi orang Melayu yang tidak mahu dikenali apabila menulis sesuatu kerana bimbang menimbulkan riak. Oleh itu pengkaji masih cuba mengenal pasti penulis manuskrip tersebut dan isi kandungannya.

Oleh kerana ia masih dalam kajian, saya tidak dibenarkan mendedahkan isi kandungan manuskrip tersebut.

Terdapat banyak ‘Kramat’ atau perkuburan wali-wali yang dianggap ‘keramat’ di Capetown. Antaranya Orang Cayen (orang Kaya), Syed Alowie yang dilantik sebagai polis di Capetown selepas dibebaskan dari penjara.

Oleh kerana statusnya sebagai polis, membolehkan Islam berkembang dengan lebih pesat lagi. Mereka dikuburkan di Tana Baru (masih mengekalkan nama yang sama).

Identiti Orang Melayu Capetown

Di samping itu, saya turut melawat Museum District Six yang menjadi penempatan awal orang Melayu, semasa zaman Apartheid mereka dipaksa pindah keluar kerana ia dijadikan kawasan orang putih sahaja (White area).

Oleh kerana warna kulit orang Melayu yang berwarna gelap dan coklat, mereka turut didiskriminasi oleh kerajaan Apartheid ketika itu.

Kad pengenalan
Kad pengenalan

Kesan dari Group Area Act 1950, ramai orang Melayu yang dahulunya tinggal di Bo Kaap, Constantia dan District Six dipindahkan ke kawasan seperti Cape Flatts, Mitchell’s Plain yang jauh dari bandar utama.

Ini mengubah sosioekonomi orang Melayu setelah rumah dan tanah mereka dirampas oleh Apartheid. Mereka juga diberi kad pengenalan yang tercatat ‘Melayu’ pada kad mereka.

Makanan Orang Melayu Capetown

Terdapat juga koleksi gambar dan barang-barang yang dibawa oleh orang Melayu semasa mereka berpindah antaranya
rempah ratus yang digunakan untuk memasak ini.

Menurut host saya, ramai orang Melayu yang menjadi tukang masak kepada tuan orang putih terutamanya Belanda dan kemudiannya British.

Oleh itu banyak masakan Melayu yang telah diubahsuai mengikut cita rasa ‘tuan’ mereka. Ini menyebabkan masakan orang Melayu turut berubah walapun nama Melayu masih dikekalkan. Antaranya, Blatjang (Belacan), Penangkerrie (Kari Penang), Boeber (Bubur), Frikkadel (Bergedil) dan sebagainya.

Seramik yang ditulis dalam bahasa Melayu
Seramik yang ditulis dalam bahasa Melayu

Menariknya, orang Melayu menjadi pilihan penjajah kerana mereka pandai menggunakan rempah ratus dan paling utama mereka adalah orang Islam yang terkenal dengan kebersihan dan turut menggunakan daging halal dalam masakan mereka.

Saya akan kongsi tentang makanan orang Melayu di post seterusnya.

Kerjaya Orang Melayu Capetown

Dari segi pekerjaan, orang Melayu sangat kreatif dan banyak menggunakan pekerjaan yang melibatkan kerja tangan seperti mengukir kayu, membuat rotan, membuat perabut, menangkap ikan dan menjahit. Malah, banyak bangunan lama di Capetown sebenarnya di bina oleh orang Melayu.

malay-capetown-14

Amalan Tradisi

malay-capetown-15

Dari segi amalan tradisi, orang melayu disini masih mengekalkan tradisi seperti sambutan Maulud Nabi, di mana malam Maulud Nabi, amalan ‘Rampies’ diadakan.

Dengan memotong bunga-bunga dan kulit oren, sebelum diasapkan dengan setanggi dan dibungkus untuk diberi kepada tetamu seperti yang pernah saya tulis di post sebelum ini. (Rujuk: Bahagian 1)

Majlis memberi nama kepada anak yang baru lahir, seperti yang tercatat dalam gambar di atas, anak orang Melayu di dalam gambar ini dinamakan ‘Fatima Februarie’.

Sebenarnya, ‘Februari’ merupakan bulan keluarga ini dibebaskan dari menjadi hamba oleh tuan mereka. Oleh itu kebanyakan orang Melayu yang mempunyai nama akhir mengikut bulan, merupakan dari golongan hamba.

Namun ada juga yang bukan hamba dan mengekalkan nama dari keluarga yang mereka dilahirkan. Nama-nama orang Melayu di Capetown kebanyakannya mengikut tulisan Belanda, disebabkan itu ‘Muhammad’ berubah menjadi ‘Moegammat’ (huruf ‘g’ disebut ‘h’).

Saya juga turut membaca suratkhabar tempatan disini yang ada menulis tentang pengalaman menunaikan haji. Setelah pulang dari haji, kebanyakan wanitanya akan memakai pakaian ‘Hujaj’ yang dibeli dari Mekah daripada orang Melayu disana.

Pakaian ini turut digunakan untuk menjemput pengantin perempuan ke rumah baru suaminya dan mereka akan melayan pengantin baru selama 7 hari.

Pengantin dilayan bak ‘Raja 7 hari’ dan mereka tidak perlu berbuat apa-apa termasuk masak, kemas rumah dan sebagainya. Biasanya ahli keluarga dalam keluarga pengantin lelaki yang pernah menunaikan haji akan datang melakukan semua kerja-kerja tersebut.

Menurut orang disini, sekiranya kita dijemput menghadiri majlis perkahwinan pada minggu tersebut, bermakna majlis tersebut adalah majlis kecil.

Tetapi jika kita dijemput menghadiri majlis tersebut sebulan dari sekarang, majlis tersebut merupakan majlis yang besar. Saya turut dijemput menghadiri majlis perkahwinan salah seorang kenalan host saya yang akan saya kongsi kemudian.

Baca: Undangan Tinggal Di Capetown Digunakan Sebaiknya Mencari Melayu Yang Dibuang

Baca: Jawapan Penyelidik Bebas Tentang Orang Melayu Capetown Yang Anda Mahu Tahu

Baca: 11 Jenis Masakan Melayu Capetown Seakan Di Negara Kita Kecuali ‘Kifayat Kos’