Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 100 akaun perbankan peribadi, ahli keluarga dan syarikat milik seorang tokoh korporat bergelar Tan Sri.

Jumlah keseluruhan bernilai lebih RM217 juta, lapor Buletin TV3.

Baca Juga:

Tokoh korporat berkenaan, serta empat individu lagi telah dirakam percakapan dan lain-lain saksi dianggarkan seramai 13 orang akan dipanggil.

“Jadi bagi kes ini, setakat ini lima individu termasuk tokoh korporat bergelar Tan Sri berkenaan telah dirakam percakapan dan lain-lain saksi dianggarkan seramai 13 orang akan dirakam percakapan.

“Dan pembekuan akaun adalah 100 akaun perbankan milik tokoh korporat berkenaan. Ahli keluarga serta syarikat-syarikat berkaitan dengannya semuanya dibekukan bernilai lebih kurang RM217 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini, petik Buletin TV3.

Tan Sri miliki proksi

Jelasnya, keterangan itu penting untuk SPRM menjalankan persediaan bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan satu pelaburan dengan syarikat luar pesisir yang dikawal oleh dua orang proksi yang disyaki terlibat dalam rasuah.

“Ia melibatkan penerimaan hasil daripada penggubahan wang haram berkaitan dengan satu pelaburan, satu kontrak daripada negara Brazil, satu syarikat daripada negara Brazil melalui beberapa syarikat-syarikat luar pesisir atau offshore yang dikawal oleh dua orang proksi iaitu warga negara Malaysia yang kita syaki telah terlibat dalam rasuah.

“Dalam hal ini kita perlu mengambil masa kerana melibatkan negara-negara luar bagi kes money laundering ini yang mana untuk kes ini kita perlu dapatkan keterangan-keterangan daripada juga kerjasama daripada negara Brazil, Singapura, Netherlands dan juga beberapa negara lain,” katanya.

Menurut Tan Sri Azam Baki lagi, SPRM telah membuka dua kertas siasatan bagi mengesan transaksi kewangan yang berlaku di negara negara berkenaan hinggalah wang itu sampai ke Malaysia.

“Kita telah membuka dua kertas siasatan. Satu kertas siasatan di bawah akta kita di bawah Suruhanjaya Pencegah Rasuah itu berkaitan isu rasuah dan yang kedua ialah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Dan dalam hal ini adalah penting bagi untuk kita mengesan ataupun mendapatkan keterangan berguna transaksi kewangan yang berlaku daripada negara-negara berkenaan hinggalah wang itu sampai ke Malaysia,” ujarnya lagi.

Sumber