Sebanyak 12,787 pengarah syarikat kini berdepan larangan ke luar negara setelah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendedahkan kegagalan mereka melunaskan caruman pekerja.

Memetik NST, KWSP menyatakan ia melibatkan 13,820 majikan yang gagal menyelesaikan caruman pekerja mereka dalam tempoh enam bulan dari Januari hingga Jun tahun lepas. Angka ini mewakili 2.02 peratus daripada 685,399 majikan yang berdaftar dengan KWSP.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana pencen terbesar di Malaysia, yang direka untuk membantu pekerja menyimpan bagi hari persaraan mereka.

Dalam pada itu, KWSP memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang gagal membuat pembayaran yang diperlukan.

“Kegagalan majikan untuk membuat pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan adalah satu kesalahan serius.”

“KWSP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang tidak patuh, termasuk tindakan sivil dan jenayah, demi melindungi hak pekerja,” demikian menurut kenyataan tersebut.