Menurut majalah Maskulin keluaran Karangkraf, 24% wanita yang mendakwa dirinya tidak gembira di dalam perhubungan hanya menghabiskan masa kurang dari lima minit sehari bersama pasangan. Wanita berasa gembira jika anda dapat meluangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit tanpa sebarang gangguan gajet dan kerja. Persoalannya bagaimana cara menggembirakan wanita? Apa yang boleh dibuat dalam tempoh tersebut?
Ini adalah 13 cara yang bakal buat wanita gembira apabila bersama pasangannya. Pasti senyuman tak lekang di bibir sepanjang hari. Oh ya! Tip ini hanya untuk mereka yang sudah berkahwin sahaja.
1. Beritahu dia jika dia telah melakukan sesuatu dengan baik dan setelah itu ucap terima kasih kepadanya. Ini menunjukkan anda mengambil berat tentang usahanya dan menghargai apa yang dilakukan olehnya itu.
2. Buat dia ketawa selalu dengan humor anda. Jika anda bukan seorang yang kelakar, belajarlah beberapa ayat gurauan yang boleh mencuit hatinya. Apa yang penting buatkan dia gembira.
3. Kadang-kala anda boleh memasak untuk dia walaupun masakan itu mudah sahaja. Jika anda tidak tahu masak, dia akan tetap menghargai usaha anda itu.
4. Curahkan kasih sayang kepadanya bila-bila masa anda berkesempatan melakukannya. Namun itu tidak bermakna anda perlu sentiasa berpegangan tangan bersama. Lakukan sesuatu yang spontan seperti ciuman di pipi atau menggosok belakangnya ketika dia kepenatan. Tindakan anda ini akan membuatkan dia kembali gembira dan mungkin menjadi ubat padanya untuk hari tersebut.
5. Lakukan kerja rumah terutama kerja yang dia tidak suka lakukannya. Bantu dia. Jika dia sudah selalu mengemas, apa kata anda minta dia rehat pada hari tersebut dan anda sukarela mengambil alih kerja rumahnya itu. Pasti dia terharu dengan anda.
6. Wanita suka lelaki yang pandai membaiki atau memperbetulkan sesuatu untuknya. Itu menunjukkan satu kualiti yang boleh diharapkan pada seorang lelaki. Maka, bantu tukar mentol atau tukar tayar kereta atau nyah virus dari komputernya akan buat pasangan anda berasa bersyukur memiliki anda disampingnya. Jika anda tidak reti membaikpulih, belajar.
7. Bersukan atau bermain bersama pasangan akan membantu stimulasi minda dan badan. Jika dia tidak tahu, beri tunjuk ajar kepadanya. Anda juga boleh mempelawa diri untuk menyertai sukan atau permainan yang digemarinya. Ini boleh membantu menambahkan kepercayaan dan kenal diri masing-masing. Ini juga boleh menunjukkan dia penting buat anda apabila anda mahu melibatkan dia dengan aktiviti yang anda sukai.
8. Manjakan dia ketika dia sedang bermuram durja. Anda boleh bayarkan dia sesi rawatan spa atau urutan bagi menghilangkan tekanannya atau anda juga boleh menemani dirinya tanpa bercakap apa-apa. Itu sudah cukup untuknya kerana anda berada disisinya pada saat itu.
9. Berikan dia hadiah walaupun ianya kecil dan tidak bernilai ratusan ringgit kerana impak pemberian hadiah itu begitu besar pada seorang wanita. Untuk hasil yang lebih baik, anda disarankan mereka atau mencipta sesuatu untuk dijadikan hadiah. Itu menunjukkan anda ambil berat tentangnya dan usaha itu lebih bernilai dari tanda harga barangan.
10. Dengarkanlah kata hatinya dengan menjadi pendengar yang baik dan memberi respon. Namun, bukan selalu anda perlu memberi pendapat atau respon kerana ada waktunya wanita hanya mahu lelaki mendengar sahaja.
11. Biar dia tahu bahawa pendapat dia juga penting buat anda. Sudah jadi lumrah seorang wanita yang mempunyai pendapat untuk semua perkara. Dia amat menghargainya jika anda meminta pendapatnya atau mahu mendengar pendapatnya sama ada dalam soal perkara kecil atau besar. Lagipun, dia adalah teman hidup anda. Apa jua keputusan yang anda lakukan pasti beri kesan pada diri dan kehidupannya juga. Wujudkan rasa kebersamaan di dalam perhubungan anda. Ikatkannya dengan persefahaman.
12. Jaga dan ambil berat apa yang disukainya. Itu menunjukkan apa yang disukainya itu adalah penting buat anda. Contohnya, raikan dia sekiranya dia suka akan persembahan orkestra, beri kebenaran kepadanya untuk memelihara binatang kesayangan dan belikan alat atau benda yang berkaitan dengan apa yang disukainya itu, contoh koleksi seni.
13. Berikan dia ruang bersendirian jika itulah yang dipintanya. Itu satu tindakan menghormati keputusannya dan memberikan apa yang dia perlukan ketika itu. Dan ingatkanlah si dia bahawa anda ada untuknya bila-bila masa dia perlukan bantuan atau kehadiran anda disisinya.
Sumber: My Life Is My Love, Maskulin