Tular gambar dan video insiden di mana pasangan kekasih nekad melarikan diri daripada pihak polis sejauh 96 kilometer dalam satu insiden kejar-mengejar di Johor Bahru.

Bagaimanapun tindakan pasangan itu tertumpas di Jalan Pesisiran Tanjung Langsat, lapor Sinar Harian.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi itu, suspek lelaki berusia 36 tahun didapati memandu kereta jenis Proton Wira secara mencurigakan sebelum dikesan oleh anggota unit kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

@najwaazmi96

Kejar mengejar polis & orang jahat Pasir Gudang 😂

♬ original sound – Najwa_Azmi🌸 – Najwa_Azmi🌸

Walaupun telah diarahkan untuk berhenti, suspek enggan mematuhi arahan. Kemudian suspek bertindak memecut laju, serta memandu secara melawan arus.

“Suspek melarikan diri melalui Lebuhraya Pasir Gudang ke Perling, kemudian ke Lebuhraya Utara-Selatan, berpatah balik ke Lebuhraya Pasir Gudang, sebelum memasuki Lebuhraya EDL, Pusat Bandar, Southkey, Jalan Bakar Batu, Jalan Masai Lama dan akhirnya ke Tanjung Langsat.

“Kejadian turut melibatkan 14 MPV dari IPD Johor Bahru Selatan, IPD Johor Bahru Utara dan IPD Seri Alam sebelum kereta suspek berjaya ditahan selepas sejam 22 minit dikejar,” kata Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.

Pasangan Kekasih Lari Daripada 14 MPV Polis Sejauh 96 Kilometer
Sumber Gambar: Facebook Buletin Malaysia

Selepas berjaya diberkas, pasangan kekasih itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan 0.45 gram syabu ditemukan.

“Semakan mendapati mereka mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala pemandu tidak mempunyai lesen, manakala cukai jalan kenderaan juga telah tamat tempoh,” ujarnya.

Kedua-duanya kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan; Seksyen 42(1), Seksyen 26(1), dan Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.