Pada 5 Oktober 2024 sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang (IPD) telah melakukan satu serbuan di sebuah pusat hiburan yang terletak di Taman Dutamas, Cheras.

Menurut kenyataan Polis Selangor, hasil pemeriksaan mengejutkan apabila 14 individu ditahan atas kesalahan positif dadah berdasarkan ujian air kencing.

Yang lebih mengejutkan lagi, tiga daripada mereka yang dicekup di pusat hiburan adalah anggota polis dari IPD Kajang sendiri.

Kesemua yang ditangkap kini ditahan di bawah Seksyen 15(1) ADB 1952, dan tiga anggota polis tersebut telah direman selama sehari pada tarikh yang sama.

Ketiga-tiga anggota polis ini telah ditukarkan serta-merta ke Jabatan Pengurusan IPK sementara menunggu hasil siasatan.

Pihak polis juga menekankan bahawa siasatan tatatertib akan dilakukan sebagai sebahagian daripada tindakan dalaman.

Susulan insiden ini, satu lagi peringatan tegas dikeluarkan.

Pegawai kanan dan pegawai rendah polis dilarang berada di pusat-pusat hiburan kecuali atas urusan rasmi, menurut kenyataan yang disampaikan oleh Ketua Polis Selangor, Dato’ Hussein Omar Khan.

Malah, beliau menegaskan bahawa tindakan keras akan dikenakan terhadap mana-mana pegawai polis yang melanggar arahan ini, terutamanya jika mereka terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Apa yang berlaku di Cheras ini menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen mengenai tahap integriti di kalangan pegawai polis.

Sebahagian daripada mereka bertanya, adakah ini realiti sebenar atau lebih parah?

Kebanyakan mereka berdebat tentang bagaimana pihak berkuasa mahu mendapatkan kepercayaan orang ramai, apabila mereka yang diberi mandat untuk melindungi masyarakat terlibat dalam aktiviti yang melanggar undang-undang