Kebelakangan ini, kita telah mendengar sejumlah laporan berkaitan kebocoran data yang menyebabkan sesebuah syarikat gergasi terjejas. Maklumat sulit pengguna pula menjadi barangan jualan menerusi pasaran gelap sekaligus boleh menyebabkan kerugian besar buat mangsa yang terbabit.

Terbaharu, seorang penggodam telah mendedahkan bahawa sebanyak 400 juta data pengguna Twitter akan dijual menerusi sebuah forum yang terkenal dengan jualan data pengguna secara haram. Data tersebut dikatakan berjaya dihimpunkan menerusi isu kerentanan pada tahun 2021 lalu.

Baca Juga:

400 Juta Data Pengguna Twitter Akan Dijual Pada Harga RM884,700 Oleh Penggodam
Sumber Gambar: Bleeping Computer

Penggodam tersebut membuat jualan eksklusif untuk data tersebut pada harga $200,000 (~RM884,700). Dalam masa yang sama, suspek meminta Elon Musk untuk membelinya atau bakal menerima jumlah saman yang jauh lebih tinggi daripada pihak berkuasa ekoran kebocoran data pengguna Twiter berskala besar tersebut.

Difahamkan data ini akan dijual secara eksklusif kepada hanya seorang pembeli sahaja dan ia akan dipadam selepas itu. Jika penjualan eksklusif ini gagal, suspek bakal tawarkan salinan data tersebut kepada beberapa individu dengan harga $60,000 (RM265,410) bagi setiap satu.

Penggodam menambah lagi maklumat sensitif yang berjaya dihimpunkan merangkumi individu berpengaruh atau artis terkemuka yang pasti menjejaskan imej Twitter jika ia tersebar di internet. Setakat ini, pihak Twitter masih belum memberi respon berkenaan isu penjualan data pengguna itu.