Hutang memang wajib dibayar semula tetapi realitinya masih ramai memandang enteng lebih-lebih lagi buat peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mana akan memberi kesan kepada generasi akan datang.
Menurut laporan Harian Metro, seramai 400,000 peminjam PTPTN didapati masih tidak membuat sebarang pembayaran semula untuk hutang pinjaman itu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mendedahkan bahawa nilai tunggakan PTPTN yang tidak dibayar sudah capai angka yang ngeri iaitu mencecah RM5 bilion serta membabitkan peminjam yang sudah menamatkan pengajian 10 lalu dan ke atas.
“Ini membabitkan mereka yang dari hari pertama sehingga sekarang.
“Kumpulan tegar ini selepas 10 tahun yang tidak pernah bayar sekalipun yang membabitkan 400,000 orang peminjam dengan nilai pinjaman RM5 bilion,” katanya dalam Sesi Taklimat Menteri Pendidikan Tinggi bersama Ketua-Ketua Pengarang Media di sini.
Dalam menangani isu terbabit, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata mereka sentiasa membuka ruang untuk berbincang supaya peminjam boleh membuat pembayaran mengikut kemampuan dan tidak membebankan.
Katanya, PTPTN malah mempunyai pelan pembayaran fleksibel dan penstrukturan semula pinjaman untuk membantu peminjam yang berdepan masalah.
“Sekiranya mereka mempunyai tunggakan yang besar kita akan minta pendahuluan dengan jumlahnya boleh dibincangkan dengan pegawai. Kita tidak akan minta sehingga 100 peratus atau 50 peratus, ia boleh jadi beberapa bulan ansuran bulanan yang tertakluk kepada tempoh mereka tertunggak.
“Kedua, jumlah yang perlu dibayar pula kita akan lihat pada slip gaji mereka dan mungkin sekitar lima ke enam peratus pada gaji bulanan. Kita juga lihat pada umur peminjam.
“Kalau peminjam sudah berusia 40 tahun, tempoh bayaran boleh dilanjutkan sehingga 60 tahun dan kita ada beberapa parameter dalam menentukan berapa rendah ansuran bulanan yang boleh kita berikan dan amaun bayaran secara permulaan. Kebiasaannya ia seminimum tiga hingga enam bulan ansuran,” katanya.