Kegilaan orang ramai mencuba bubble tea dari keseluruhan rangkaian jenama minuman di pasaran sememangnya sedang hangat diperkatakan. Namun pengambilan gula berlebihan juga akan mendatangkan kesan buruk kepada pengguna. Terbaharu, Pakar Diet Thomson Hospital Kota Damansara memberikan cadangan pemilihan nisbah bahan ketika memesan bubble tea.

Perkongsian ini bukan sahaja memberi panduan mengenai pemilihan tahap gula dalam minuman bahkan juga pemilihan jenis minuman yang akan mempengaruhi kesihatan pembeli. Berikut kami senaraikan panduan tersebut kepada anda.

HYPE
Uban Hilang, Keyakinan Kembali! Alpecin Grey Attack Muncul Sebagai Hero Rambut Anda
Baca lagi →

1. Panas atau sejuk?

Walaupun suhu minuman tidak mempengaruhi kadar penyerapan nutrisi ke dalam tubuh seseorang, tetapi harus diingatkan kepada pengguna yang mungkin sedang mengalami batuk, selsema atau demam untuk memilih minuman panas buat sementara waktu. Pemilihan air sejuk untuk golongan ini mungkin akan menyebabkan sakit tekak yang lebih teruk.

2. Kurang gula, sederhana, normal atau sifar?

Tahukah anda selain pilihan sejuk atau panas, pembeli juga boleh memilih tahap gula dalam minuman. Kadar gula normal bersamaan dengan 20 sudu teh, belum termasuk dengan gula yang terkandung dalam topping. Kebiasaannya, pembeli boleh memilih tahap sifar, kurang, sederhana dan normal. Jadi setelah mengetahui kuantiti gula dalam setiap tahap, mana satu pilihan anda?

3. Pilihan susu segar

Pembeli digalakkan untuk memilih susu segar disebabkan kadar protein tinggi manakala krimer bukan tenusu kebiasaannya mengandungi lemak tepu dan sirap jagung fruktosa yang agak tinggi. Kita sedia maklum bahawa protein boleh membantu menguatkan tulang dan gigi, malah baik juga untuk otot.

4. Pilihan topping

Jenama minuman bubble tea kebiasaannya akan menawarkan topping menarik atau signiture khas kepada jenama tersebut. Pemilihan kadar gula tadi haruslah bijak kerana kadar gula dalam topping juga sebenarnya sudah memadai. Ini kerana kebiasaannya bubble yang digunakan telah dimasak dalam larutan gula yang agak tinggi.

5. Hadkan kekerapan pembelian bubble tea

Kandungan gula yang agak tinggi pastinya membuat kita faham dan agak berjaga-jaga dengan kekerapan dan kuantiti pengambilan rangkaian minuman yang sedang hype ini. Walaupun minuman ini terkenal dengan keenakan rasa manis dan lemak berkrim yang mendorong orang ramai memilih untuk membeli saiz paling besar, pembeli juga harus menghadkan kekerapan pembelian minuman ini.

Semoga panduan ini dapat membantu anda membuat pilihan yang lebih tepat untuk menikmati keenakan bubble tea selepas ini.