Lima warga Pakistan yang berani meredah sungai untuk membantu penduduk terjejas akibat tragedi Putra Heights, Subang Jaya menerima penghargaan rasmi daripada Kedutaan Pakistan di Malaysia.

Kelima-lima mereka — Khaista Nawab, 50, Bakht Munir, 37, Amir Nawab, 47, Rafiq Ullah, 25, dan Jaafar Ali, 40 — telah dipanggil untuk menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh wakil Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia dalam satu majlis di kedutaan negara itu, semalam, petik Harian Metro.

Baca Juga:

Khaista berkata, dia dan rakan-rakannya sama sekali tidak menyangka bahawa bantuan spontan yang diberikan akan mendapat pujian serta pengiktirafan, kerana mereka melakukannya dengan ikhlas semata-mata untuk membantu mereka yang sedang dalam kesusahan.

5 Warga Pakistan Terima Penghargaan Selamatkan Mangsa Tragedi Putra Heights
Sumber Gambar: BERNAMA

“Kami bantu kerana itu yang patut dilakukan sebagai manusia, bukan untuk habuan. Bila lihat penduduk di seberang sungai panik, kami tahu kami perlu lakukan sesuatu,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua mereka yang berasal dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan telah berada di Malaysia antara tujuh hingga 20 tahun untuk mencari rezeki.

Kalau tak tolong mangsa Tragedi Putra Heights, nanti Hari Kiamat kena tanya

Khaista berkongsi apa yang berlaku pada hari kejadian. Ketika itu, kelima-lima mereka sedang berada di rumah masing-masing yang terletak berhampiran sungai kerana masih bercuti sempena Aidilfitri.

Perkara pertama yang terlintas di fikiran apabila melihat api marak dari jarak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka ialah untuk mengambil pasport dan segera melarikan diri.

“Tapi kemudian saya fikir, tidak boleh lari kerana nanti pada hari kiamat akan ditanya juga. Harus bantu orang walau nyawa sendiri dalam bahaya.

“Jadi, kami berenang ke seberang dan kembali ke tebing di Kampung Sri Aman lebih lima kali bagi menyelamatkan semua penduduk,” katanya.

Sumber