Adakah anda masih ingat akan peristiwa tsunami yang melanda Banda Aceh pada tahun 2004 yang lalu? Ribuan mangsa dalam tragedi tersebut dan hampir semua bangunan hancur dan menjadikan kawasan tersebut padang jarak padang tekukur.
Fenomena yang menjadikan kita lebih ingat pada kejadian ini adalah apabila hanya masjid berdiri utuh ketika bencana tersebut berlaku. Terbaharu, seorang pengguna Facebook, Yamin Ismail telah berkongsi 6 tempat ikonik anda boleh lawati di Banda Aceh yang pasti dapat membuat anda merasai perasaan mereka ketika bencana tsunami terjadi. Lihat 6 ikon pelancongan tsunami di Banda Aceh ini di bawah:

1. Masjid Raya Baiturrahman

Masjid ini merupakan masjid tercantik di Aceh dan juga di Indonesia. Terletak di tengah pusat bandar. Tidak lengkap datang ke Aceh kalau anda tidak singgah di masjid ini. Selepas pengubahsuaiannya siap Mei lalu, masjid ini lebih cantik dan menyerupai Masjid Nabawi di Madinah.
Semasa tragedi tsunami 26 Disember 2004, masjid ini kekal teguh berdiri ketika mana bangunan di sekitarnya runtuh menyembah bumi. Ia turut menjadi benteng perlindungan orang Aceh selain tempat pemindahan mangsa yang terselamat.
2. Muzium Tsunami Aceh
Perlu datang melawat di sini untuk lebih mendapat gambaran tentang peristiwa tsunami 2004. Harga tiket 10,000 Rupiah sahaja. Sebaik masuk, anda akan melalui lorong gelap dengan aliran air di kiri kanan dinding dan alunan zikir. Terasa menyelami apa yang dialami penduduk ketika itu.
Direka oleh arkitek anak jati Aceh, muzium yang menggabungkan seni Islam dan budaya masyarakat Aceh itu menggambarkan seolah-olah gelombang tsunami dan kapal penyelamat pada binaannya. Di satu ruang penuh dengan nama mangsa yang terkorban dalam tragedi yang meruntun jiwa.
3. Kapal PLTD Apung
Ajaib tetapi benar. Itulah tatkala kali pertama anda melihat kapal janakuasa elektrik milik syarikat janakuasa tempatan PLN yang dikenali PLTD Apung. Akibat gelombang tsunami besar, kapal ini terseret hingga lima kilometer ke tengah Banda Aceh.
Dari 11 orang anak kapal, hanya seorang yang selamat. Boleh naik ke atas dan ada pameran di dalam. Anda juga boleh meninjau kawasan sekitar.
4. Kapal di atas rumah
Betapa kuatnya hentaman tsunami hingga kapal seberat 20 tan ini dipukul ombak dan tersangkut di atas rumah penduduk di Gampong Lampulo. Kapal ini memiliki kepanjangan sebanyak 25 meter dan lebar 5.5 meter serta dibuat dari kayu.
Menurut penduduk kampung, berkat kapal ini 59 orang terselamat pada hari kejadian.
5. Perkuburan besar mangsa tsunami
Perkuburan besar mangsa tsunami ini terletak di Gampong Siron lebih kurang 20 minit perjalanan dari Banda Aceh. Percaya atau tidak, di sini sebanyak 46,718 mayat mangsa tsunami telah dikebumikan.
Memang sedih berada di sini. Disini disediakan surah Yasin jika anda boleh meluangkan masa. Jangan lupa berdoa dan sedekahkan al-fatihah apabila datang ke sini.
6. Masjid Rahmatullah, Lampuuk

Satu lagi ikon keajaiban dan wajib berkunjung ke sini. Terletak setengah jam perjalanan dari Banda Aceh. Masjid ini juga terselamat di kampung Lampuuk ini, manakala ribuan penduduk terkorban dalam tsunami.
Melihat gambar yang dipaparkan, anda boleh lihat kampung ini menjadi padang jarak padang tekukur kecuali masjid ini. Suatu peringatan yang diberikan oleh Allah kepada kita semua.
Pastinya tempat-tempat yang dinyatakan seperti diatas ini tidak dapat dijumpai di tempat lain. Jika anda berkesempatan, datanglah melawat ke sini dan lawatan ke Aceh ini akan membuatkan anda insaf.
Sudah tahu tempat yang harus anda melawat di Aceh? Jika masih tercari-cari tempat untuk melancong ke tempat lain, anda boleh baca artikel di bawah ini:
Senarai Lokasi Beli-Belah Di Melbourne Yang Murah Dan Berbaloi
Lokasi Pelancongan Hebat Yang Anda Boleh Lawati Jika Berada Di Sabah