Lapan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dilaporkan maut dalam satu kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, pagi ini.
Memetik Berita Harian, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon, berkata nahas itu membabitkan sebuah lori membawa muatan batu dan sebuah trak FRU yang membawa 15 anggota termasuk pemandu.
“Setakat ini saya boleh mengesahkan bahawa lapan orang meninggal dunia dan operasi menyelamat masih dijalankan.
“Beberapa mangsa yang berjaya dikeluarkan dari kenderaan telah dihantar ke Hospital Teluk Intan, namun operasi masih diteruskan,” katanya.
Kemas kini 13 Mei 2025, 12.12 tengah hari
Seorang lagi anggota dilaporkan maut, menjadikan jumlah keseluruhan 9 anggota terkorban.
“Lapan anggota maut di lokasi kejadian, seorang lagi disahkan maut di hospital, manakala lima lagi anggota cedera ringan.
“Semua mangsa maut dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat,” kata Ketua Polis Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin kepada Harian Metro.