Continental akan menutup kilang pembuatan tayarnya, yang menggaji 950 orang tenaga kerja di Alor Setar, Kedah, menjelang akhir tahun 2025 ini, lapor The Edge Malaysia.

Menurut pihak syarikat, kilang yang menghasilkan tayar untuk kereta penumpang, trak ringan dan motosikal bagi pasaran Asia Pasifik itu akan menawarkan sokongan seperti kaunseling kerjaya dan peluang pekerjaan di dalam dan di luar Continental.

“Keputusan untuk menutup kilang tayar di Alor Setar dibuat selepas satu kajian perniagaan yang menyeluruh bagi memastikan daya saing dan prestasi perniagaan syarikat di rantau Asia Pasifik terpelihara.

“Sebagai tindak balas kepada perubahan permintaan pelanggan, syarikat berusaha untuk mengoptimumkan portfolio produknya di peringkat tempatan serta jejak pembuatan syarikat,” tambahnya, petik laporan Business Times.

Walaupun kilang itu ditutup, Continental menegaskan semula komitmennya terhadap Malaysia sebagai pasaran utama dalam strateginya untuk rantau Asia Pasifik.

Syarikat itu menekankan tumpuannya yang berterusan untuk mengekalkan hubungan kukuh dengan pelanggan dan rakan kongsi di negara ini.

Kilang tayar Alor Setar mula beroperasi pada 20 Disember 1979 dan telah menjadi anak syarikat milik penuh Continental sejak Mei 2012.