Keuntungan bersih 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) meningkat sebanyak 22.5% kepada RM490.26 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY2024), berbanding RM400.22 juta pada FY2023, selari dengan peningkatan hasil dan pendapatan operasi lain.
“Hasil meningkat sebanyak 8.3% kepada RM9.98 bilion berbanding RM9.21 bilion sebelum ini,” kata peruncit rangkaian minimarket tempatan itu dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia baru-baru ini.
Memetik laporan Free Malaysia Today, 99 Holdings telah membuka 252 lagi cawangan 99 Speedmart dalam FY2024, menjadikan jumlah keseluruhan cawangan setakat 31 Disember 2024 kepada 2,778, mewakili pertumbuhan tahunan sebanyak 10%, yang memberi sumbangan positif kepada hasil kumpulan.

“Selain itu, platform e-dagang jualan borong juga menyumbang kira-kira RM23.1 juta kepada peningkatan hasil kumpulan dalam FY2024,” tambahnya.
“Kumpulan mencatatkan peningkatan sebanyak 12.6% dalam jumlah transaksi jualan kepada 465.5 juta transaksi dalam FY2024, sebahagiannya diimbangi oleh penurunan 3.8% dalam saiz bakul purata kepada RM21.40, didorong oleh lebih ramai pelanggan memilih pembelian kecil tetapi kerap kerana kemudahan yang ditawarkan oleh 99 Holdings,” katanya.
Pengendali rangkaian minimarket itu berkata pendapatan operasi lain meningkat sebanyak 22.4% kepada RM814.8 juta dalam FY2024, didorong oleh kenaikan yuran pusat pengedaran (DC) daripada pembekal berikutan peningkatan kadar yuran DC, serta yuran paparan produk yang lebih tinggi susulan pengembangan cawangan.
“Pendapatan lain meningkat sebanyak 43% kepada RM30.4 juta, terutamanya disumbangkan oleh pendapatan faedah daripada penempatan deposit menggunakan hasil tawaran awam permulaan (IPO) serta pendapatan daripada penjualan sisa pembungkusan kitar semula,” katanya.
Berjaya lepasi sasaran pembukaan cawangan 99 Speedmart

Dalam pemfailan berasingan, pengasas dan CEO 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata bahawa tahun 2024 merupakan tahun pencapaian penting bagi kumpulan itu. Bukan sahaja syarikat berjaya disenaraikan, tetapi ia juga melepasi sasaran dengan membuka 252 cawangan 99 Speedmart, mengatasi matlamat 250 cawangan baharu.
“Pengembangan kami terus berjalan apabila kami memasuki Sarawak, pasaran baharu dan berpotensi untuk syarikat, dengan pusat pengedaran di Miri serta cawangan-cawangan dijadualkan dibuka pada Mac 2025.
“Melangkah ke hadapan, kami kekal fokus pada matlamat strategik kami, termasuk mencapai 3,000 cawangan 99 Speedmart menjelang akhir 2025 serta memperluaskan lagi platform e-dagang jualan borong kami, yang telah menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan di pelbagai rantau,” katanya.
Beliau menambah bahawa dengan hasil daripada IPO, 99 Holdings berada dalam kedudukan kukuh untuk mempercepatkan pengembangannya dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat.