Syarikat penerbangan Batik Air baharu sahaja mengumumkan kembalinya perkhidmatan terus yang pastinya dinanti-nantikan ramai iaitu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai Osaka (KIX).
Pembukaan semula laluan tersebut difahamkan akan bermula pada 15 Disember nanti.
Baca Juga:
- Batik Air Perkenal Laluan Antarabangsa Pertama Dari Subang Ke Bangkok

- Jejak Pertama Dari Dili Ke KL, Batik Air Buka Laluan Baharu ASEAN

- Batik Air Umum Laluan Baharu Ke Beijing Dan Changsha

Kembalinya laluan ini menandakan komitmen baharu Batik Air terhadap Jepun selepas penggantungan sambungan Kuala Lumpur–Osaka melalui Taipei pada 7 Disember 2024 yang sebelum ini beroperasi menggunakan pesawat Boeing 737.
Batik Air Tawar Lebih Keselesaan
Kini, dengan penggunaan pesawat ‘berbadan’ lebar Airbus A330, para penumpang dapat menikmati pengalaman perjalanan jarak jauh yang lebih selesa dengan 12 tempat duduk Kelas Perniagaan dan 365 tempat duduk Kelas Ekonomi.
Satu keadaaan yang menawarkan keselesaan, ruang, serta keterhubungan yang lebih baik.

Perkhidmatan ini akan beroperasi tiga kali seminggu, memberikan para penumpang pilihan perjalanan yang mudah dan selesa terus ke ibu kota budaya dan kulinari Jepun itu.
Osaka, bandar ketiga terbesar di Jepun sering diraikan sebagai “Dapur Jepun”, di mana pengembara boleh menikmati pelbagai sajian kulinari daripada takoyaki panas, okonomiyaki yang mengenyangkan, hinggalah ke restoran bertaraf Michelin.
Selain makanan, pelancong juga boleh menghayati keindahan abadi Istana Osaka, membeli-belah dan bersiar-siar di daerah neon Dōtonbori yang meriah, serta merasai pengalaman di Universal Studios Japan, salah satu taman tema paling popular di Asia.
Kembalinya perkhidmatan Kuala Lumpur–Osaka ini mencerminkan pertumbuhan strategik Batik Air di Asia Utara, memperkukuh hubungan penerbangan Malaysia serta menyokong pelancongan dua hala.

Jepun kekal sebagai salah satu destinasi paling diminati oleh pelancong Malaysia, khususnya ketika musim sejuk dan bunga sakura.
Manakala Malaysia terus menerima semakin ramai pelancong Jepun yang tertarik dengan pantai, bandar warisan, serta kepelbagaian budayanya.
Sambungan semula ini hadir tepat pada masanya ketika negara bersiap sedia untuk Visit Malaysia 2026, yang dijangka menarik lebih ramai ketibaan pelancong Jepun ke Malaysia.
Di samping itu, ia mengukuhkan lagi kedudukan KLIA sebagai hab transit utama dengan sambungan lancar ke destinasi di Indonesia, seluruh ASEAN dan seterusnya.
Tambang Batik Air bagi laluan Kuala Lumpur–Osaka bermula dari RM599 untuk Kelas Ekonomi dan RM3,599 untuk Kelas Perniagaan, sehala, termasuk semua caj.