Buriram United bangkit daripada ketinggalan pada babak pertama untuk menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-1 dalam aksi pembukaan AFC Champions League (ACL) Elite 2025/26 yang berlangsung di Chang Arena, Buriram sebentar tadi.

Ia turut melebarkan kemenangan kedua berturut-turut dilakarkan Buriram ke atas JDT dalam empat pertemuan terakhir melibatkan kedua-dua pasukan di pentas ACL Elite.

Baca Juga:

Status selaku gergasi bagi negara masing-masing menyaksikan perlawanan ini berlangsung dengan cukup menarik.

Ia jelas dibuktikan dengan dua jaringan awal yang dicipta oleh Joao Vitor Figueiredo dan Guilherme Bissoli Campos tetapi dibatalkan Video Assistant Referee (VAR).

Gol Figueiredo ketika aksi hanya berlangsung selama 24 saat dibatalkan kerana bola terlebih dahulu terkena tangannya manakala jaringan minit keenam oleh Bissoli pula dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

JDT mendapat peluang untuk merobek gawang Buriram pada minit ke-15 tetapi sepakan percuma cantik yang diambil Ager Aketxe Barrutia singgah di pintu gol dan membias terkena penjaga gol, Neil Etheridge.

Kem JDT melonjak kegembiraan pada minit ke-28 selepas Antonio Cristian Glauder menolak masuk bola hasil percubaan susulan selepas tandukan awal Jon Irazabal ditepis Etheridge bagi meletakkan pasukan pelawat dihadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Buriram United mencipta peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, namun tandukan Robert Zulj singgah di tiang gol ketika penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre sudah terpaku pada minit ke-31.

Zubiaurre sekali lagi cemerlang apabila beliau menafikan percubaan jarak dekat Suphanat Muenta pada masa kecederaan babak pertama.

Kebangkitan Buriram United

Mendapat tonik berguna pada rehat separuh masa, anak-anak buah Osmar Loss tampil lebih garang pada separuh masa kedua dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-50.

Jaringan tersebut berpunca daripada lorongan baik Zulj bagi mencari yang kemudiannya disudahkan dengan tenang Suphanat hasil percubaan melencong bagi menewaskan Zubiaurre.

Gol itu jelas menyemarakkan lagi api perjuangan barisan pemain tuan rumah yang menambah jaringan kedua hanya berselang empat minit kemudian menerusi Peter Zulj.

Zulj mudah menolak masuk bola selepas menerima umpanan baik daripada Suphanat yang bijak mengeksploitasi kesilapan Irazabal dalam kawasan penalti.

Buriram semakin bernafsu untuk mendapatkan jaringan apabila menambah gol ketiga pada minit ke-71 tetapi jaringan Bissoli dibatalkan kerana beliau berada dalam kedudukan ofsaid.

Sepuluh minit kemudian, Figueiredo hampir memadamkan kelebihan dimiliki tuan rumah tetapi tandukannya selepas menerima hantaran lintang Arif Aiman Hanapi diselamatkan dengan cemerlang Etheridge.

Etheride sekali lagi menjadi penghalang selepas beliau menafikan percubaan jarak dekat oleh Bergson da Silva bagi memastikan tiga mata penuh buat Buriram United.