Luis Campos secara tidak langsung mendedahkan bahawa Gianluigi Donnarumma dan ejennya  sebelum ini menipu di hadapan media.

Ini selepas Donnarumma dan ejennya mendakwa mereka terkejut PSG tidak mahu melanjutkan kontrak mereka dan menafikan bahawa mereka meminta kenaikan gaji. Malah ejennya menyatakan bahawa mereka sedia untuk menerima gaji lebih kecil, kerana keutamaan adalah kekal di  PSG.

Ejennya membuat kenyataan itu mewakili Donnarumma, selepas laporan beberapa media menyatakan bahawa penjaga gol itu meminta kenaikan gaji yang tinggi dalam kontrak baharu, terutama sekali selepas membantu PSG menjuarai UCL.

Membuatkan Donnarumma sekali lagi terpalit  dengan gelaran Dollarumma, yang pernah  diberikan peminat AC Milan kepadanya ketika dia memutuskan untuk meninggalkan kelab itu sebagai ejen bebas atau perpindahan percuma.

Laporan media sebelum ini mendakwa Donnarumma meminta gaji lebih €570  ribu seminggu di PSG. Namun ejen Donnarumma dan pemain itu sendiri segera menafikan perkara itu.

Luis Campos Dedahkan Donnarumma Menipu: 'Dia Minta Gaji Tak Masuk Akal'

Kini muncul versi baharu, apabila Pengarah Sukan PSG, Luis Campos tampil dengan pendedahan  bahawa, sebab utama Donnarumma dijual adalah kerana kelab gagal mencapai kesepakatan kontrak baharu – kerana permintaan gaji tidak masuk akal penjaga gol itu.

Campos berkata: “Ianya situasi sukar untuk memahami tuntutan gaji baharu diminata Donnarumma. Dia adalah pemain pertama yang kami buat penilaian untuk melanjutkan kontrak. Namun kami menyedari bahawa keadaan menjadi sukar antara kami dan dia.

“Di mana dia meminta gaji pada takuk gaji PSG di masa lalu, bukannya gaji PSG pada masa kini [yang lebih berhemah].

“Kami memberikan gaji  berdasarkan merit. Kamu akan mendapat lebih apabila kamu layak mendapatkannya.

“Kami mengambil masa agak panjang untuk membincangkan isu Donnarumma. Dan akhirnya kami terpaksa mencari penyelesaian, kerana kami gagal mencapai kesepakatan.

“Di sini, tiada bintang, kerana bintang utama adalah kelab itu sendiri, satu pasukan.”

Luis Enrique beberapa bulan lalu mengesahkan bahawa dia sudah memutuskan untuk tidak menyertakan Donnarumma dalam perancangannya. Dengan alasan atas faktor taktikal.

“Saya mahukan seorang penjaga gol dengan gaya permainan berbeza,” kata Enrique pada masa itu.

Ianya membuatkan Donnarumma terpaksa mencari kelab baharu. Dan akhirnya dia menyertai Manchester City.

Menurut Campos lagi, kegagalan kelab mencapai kesepakatan kontrak dengan Donnarumma dianggap satu peluang oleh Enrique untuk mendapatkan penjaga gol baharu.

Campos menambah: “Pengurus kemudian memberitahu kami, mungkin dia boleh gunakan kesempatan ini untuk memperkuatkan lagi skuadnya dengan gaya permainan berasaskan ‘ball playing’.”

Seterusnya, Campos menyatakan bahawa mereka ketika ini tidak akan terdesak memburu bintang besar lagi seperti dahulu. Sebaliknya mereka akan mengutamakan bakat bakat muda, terutama dari Perancis.

“Dan kami juga boleh membuat PSG ini lebih ‘Perancis’ selepas ini. Kami akan buat, ini bukan benda baharu. Jika ada pemain yang bagus dan sesuai dengan taktikal kami, maka kami akan cuba tandatangani mereka.”