Seorang lelaki Malaysia berkongsi kisah peribadinya di platform Threads tentang keputusannya meninggalkan gaji lumayan RM15,000 dan kerjaya korporatnya semata-mata demi menjaga kesihatan mental beliau.

Perkongsian beliau menjadi perhatian kerana secara mengejut, beliau mendapati kebahagiaan yang lebih besar dalam kehidupan yang lebih sederhana selepas mengambil langkah berani itu.

Lelaki Korban Gaji 5 Angka Ekoran Stres Melampau, Dakwa Temui Ketenangan Selepas Jadi Rider
Sumber gambar: Harian Metro

Difahamkan beliau mendedahkan bahawa gaji terakhirnya dalam sektor perladangan adalah hampir RM15,000, termasuk komisen.

Walaupun dengan gaji yang menarik itu, beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja selepas didiagnosis dengan gangguan kemurungan major (MDD) dan sering diserang serangan panik.

Selepas berhenti kerja, beliau beralih kepada kerja gig, terutamanya sebagai penghantar makanan (delivery rider).

Walaupun beliau mengakui bahawa pendapatan kini tidak stabil, beliau berkata beliau berasa jauh lebih bahagia berbanding semasa memegang jawatan lamanya.

“Saya dapat berjumpa rakan-rakan, meluangkan masa bersama keluarga, dan bermain permainan video bila-bila masa saya mahu. Saya tidak perlu menjawab panggilan bos pada jam 3 pagi atau berpura-pura senyum dalam mesyuarat jam 8 pagi dengan pelanggan yang cerewet,” tulis beliau.

Walaupun gaya hidup baharunya jauh daripada sempurna, beliau menyifatkannya sebagai “lebih ringan” dan lebih memuaskan.

“Saya rasa saya akan baik-baik sahaja. Saya berhenti mengambil ubat saya kira-kira sebulan yang lalu, dan buat kali pertama dalam sekian lama, saya benar-benar berasa bebas,” tambah beliau.

Ada yang bertanya jika kalau dia berminat untuk masuk balik ke dunia korporat, responnya buat masa ini belum berminat lagi dan pilih untuk berehat.

Dalam pada itu, dia berseloroh mengimbau kembali komentar yang diterima daripada seorang doktor yang mana berkata kalau sakit badan boleh pergi tapi kalau sakit otak bagaimana pula nak dirawat.