Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor, tampil menyuarakan pandangan tegas berhubung tindakan FIFA mengekalkan hukuman terhadap tujuh pemain warisan negara.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi baginda sebentar tadi, Tunku Ismail menegaskan bahawa keputusan badan induk bola sepak dunia itu bermotifkan politik.

Tegas baginda, keputusan FIFA bukan sahaja bercanggah dengan peruntukan undang-undang sedia ada, malah memberi gambaran seolah-olah wujud agenda tersirat di sebalik tindakan tersebut.

Pandangan Tunku Ismail Berhubung Hukuman Rayuan

Ini kerana, menurut baginda, Artikel 22 Kod FIFA hanya membenarkan tindakan diambil terhadap individu yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu, ia sesuatu yang langsung tidak berlaku dalam kes pemain-pemain Malaysia ini.

“FIFA terus menghukum para pemain dengan tidak menggunakan peruntukan sebenar undang-undang, sedangkan Artikel 22 dalam kod FIFA menyatakan bahawa hanya mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan, dan perkara itu langsung tidak terpakai kepada para pemain.”

“Dengan kata lain, hukuman yang dikenakan ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bersifat ‘bermotif politik’ berbanding sebab yang sebenar.”

“Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising, tetapi saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan berhabis-habisan demi para pemain yang kini akan diteruskan ke CAS, sebuah badan bebas.”

Kenyataan itu sekali lagi memperlihatkan pendirian tegas Tunku Ismail dalam mempertahankan pemain-pemain bola sepak negara, sambil menzahirkan komitmen untuk memastikan keadilan ditegakkan melalui Court of Arbitration for Sport (CAS).