ZEROBASEONE (ZB1), kumpulan K-pop telah mengadakan konsert jelajah dunia mereka iaitu 2025 ZEROBASEONE WORLD TOUR [HERE & NOW] di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 8 November 2025 (Sabtu).
Jadi biasalah, ramai pengunjung konsert dilaporkan duduk di lantai pusat membeli-belah berhampiran Idea Live Arena semasa menunggu untuk masuk ke venue.
Insiden ini menarik perhatian, terutamanya selepas seorang pengunjung dari Jepun menyuarakan komen negatif mengenai keadaan tersebut.
Seorang pengunjung konsert ZEROBASEONE (ZB1) menggunakan akaun X mereka untuk mengkritik keadaan di luar venue, khususnya kerana melihat ramai penonton duduk di lantai pusat membeli-belah dan vendor menjual barangan di atas lantai.

Pengunjung ini kemudiannya melabelkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai “standard ketamadunan yang rendah” (low standards of civilisation) berdasarkan pemerhatian tersebut.
Komen pengunjung konsert yang mengkritik Malaysia sebagai mempunyai “standard ketamadunan rendah” telah mendapat tentangan hebat daripada rakyat Malaysia dan beberapa warga asing.
Ramai yang membalas hantaran itu dengan mengkritik penilaian cetek tersebut. Untuk perbandingan, sebilangan pengguna turut memuat naik gambar warga Jepun mabuk berbaring di jalan-jalan negara mereka sebagai satu tindak balas.
Malah, seorang netizen Jepun sendiri tampil memohon maaf bagi pihak pengkritik tersebut, menjelaskan bahawa komen individu itu tidak mewakili pandangan keseluruhan rakyat Jepun.
Walaupun ada netizen Jepun yang meminta dia untuk membuat permohonan maaf kerana perkara sudah melarat, dia tetap masih mengikut egonya yang enggan berbuat sedemikian.