Pihak pengurusan Saloma Kuala Lumpur telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan berunsur fitnah & tuduhan palsu oleh Papagomo.

“Kami dimaklumkan bahawa individu tersebut, dalam satu siaran langsung, telah mengaitkan Saloma Kuala Lumpur dengan beberapa aktiviti meragukan dan tidak benar dan memberikan gambaran negatif terhadap syarikat dan operasi kai.

“Susulan daripada siaran tersebut, beberapa video pendek telah tular di platform media sosial termasuk Facebook dan TikTok, sehingga menimbulkan salah faham serta menjejaskan imej Saloma Kuala Lumpur,” katanya.

Tindakan Papagomo itu telah menyebabkan pelanggan setia mereka keliru dan mengundang kebimbangan.

Sehubungan itu Saloma Kuala Lumpur menegaskan kesemua kenyataan Papagomo adalah palsu, tidak berasas dan bermotif jahat.

“Saloma Kuala Lumpur beroperasi secara sah, mematuhi sepenuhnya undang-undang negara, dan tidak pernah terlibat dalam apa jua aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Tindakan yang mengaitkan aktiviti pihak-pihak lain dengan Saloma Kuala Lumpur adalah tidak bertanggungjawab dan telah menjejaskan reputasi kami,” katanya lagi.

Saloma Kuala Lumpur telah mendapatkan nasihat peguam dan sedang mengambil langkah undang-undang untuk melindungi kepentingan syarikat.

Pada masa sama pihaknya menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berdasarkan tuduhan tidak berasas.