Kem kebangsaan Cameroon kini berada dalam keadaan yang boleh disifatkan sebagai paling huru-hara dalam sejarah moden bola sepak Afrika.

Apa yang sepatutnya menjadi fasa persiapan terakhir menjelang Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) bertukar menjadi perebutan kuasa terbuka antara Presiden FECAFOOT, Samuel Eto’o, dan ketua jurulatih kebangsaan, Marc Brys.

Samuel Eto’o bukan nama kecil dalam bola sepak Cameroon. Dia legenda negara, ikon dunia dan suatu ketika dahulu dianggap penyelamat kepada sistem bola sepak yang lama rosak.

Ketika mengambil alih jawatan Presiden FECAFOOT, Eto’o datang dengan imej reformis.

Dia membelanjakan wang sendiri untuk menyediakan kemudahan pasukan, berdiri sebagai benteng daripada campur tangan politik, membongkar skandal pembelian slot pemain muda oleh ibu bapa yang berduit.

Untuk mencerahkan peluang anak mereka dipilih dan diintai kelab besar eropah apabila menyerlah dalam kejohanan remaja.

Perkara itu selari dengan pendedahan ayah Mbappe yang menyatakan bahawa anaknya pernah cuba mengintai peluang bermain untuk Cameroon, namun apa yang mengejutkan ada pegawai di dalam FECAFOOT meminta ayah Mbappe ‘hulur duit bawah meja’ yang sangat besar angkanya – untuk dapatkan slot pemilihan.

Menurut pegawai itu, perkara itu benda biasa dalam FECAFOOT. Beberapa tahun kemudian Mbappe menjadi bintang remaja yang membantu Perancis menjadi juara dunia. Cameroon pula dah melepaskan peluang mereka.

Seelain itu, Etoo turut serta mendedahkan pemalsuan dokumen melibatkan umur yang melibatkan puluhan pemain Cameroon.

Eto’o dah naik hantu

Namun hari ini, imej itu semakin pudar. Eto’o kini dilihat sebagai presiden yang terlalu dominan, sukar dikritik dan gemar mencampuri urusan teknikal pasukan.

Tanda-tanda konflik sebenarnya sudah muncul lebih awal. Eto’o sebelum ini dilaporkan tidak bersetuju dengan pemilihan beberapa pemain senior termasuk André Onana dan Vincent Aboubakar.

Lebih tak masuk akal, apabila muncul dakwaan bahawa Eto’o berasa terancam dengan kemungkinan Aboubakar memecahkan rekod gol antarabangsa miliknya bersama Cameroon.

Dia awalnya mendakawa dia mahukan Brys memberikan peluang kepada muka baharu atau pemain muda menggantikan Aboubakar. Namun laporan menyusul menyebut, Eto’o mahu menjaga rekod dan legasinya.

Eto’o kini memegang rekod 56 gol daripada 118 penampilan, manakala Aboubakar sudah mengumpul 45 gol daripada 117 caps.

Walaupun memerlukan angka luar biasa untuk memintasnya dalam satu kejohanan AFCON, isu ini tetap menjadi bahan perbualan dan mencetuskan persepsi negatif terhadap presiden FECAFOOT itu.

Senarai skuad Eto’o vs skuad Brys

Kemelut memuncak apabila Marc Brys bersiap sedia memuktamadkan senarai akhir pemain untuk AFCON.

Ketika itulah Eto’o dikatakan tampil dengan senarai pilihannya sendiri dan memberi tekanan kepada jurulatih agar menghormati senarai tersebut.

Eto’o malah memberi amaran bahawa Brys perlu bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya Cameroon gagal di kejohanan itu.

Brys enggan tunduk, terutamanya apabila nama André Onana tidak termasuk dalam senarai cadangan Eto’o.

Keputusan itu mencetuskan tindakan drastik daripada presiden FECAFOOT yang kemudian mengumumkan pemecatan Brys. Eto’o seterusnya melantik David Pagou sebagai ketua jurulatih baharu dan mengumumkan senarai 28 pemain versinya sendiri untuk AFCON.

Namun langkah itu tidak mengakhiri konflik, sebaliknya mencetuskan krisis yang lebih besar.

Marc Brys menolak pemecatan tersebut dan menegaskan bahawa beliau masih jurulatih sah Cameroon berdasarkan kontrak yang ditandatangani bersama Kementerian Sukan Cameroon, bukan FECAFOOT.

Sebagai tindak balas, Brys mengeluarkan senarai pemainnya sendiri untuk kejohanan sama. Kerana menurutnya, Eto’o bukan jurulatih pasukan. Kalau dia benar benar mahukan skuadnya sendiri, kenapa dia tidak memohon jawatan jurulatih sebelum ini?

Hasilnya, Cameroon kini mempunyai dua senarai pemain, dua ketua jurulatih dan dua pusat kuasa yang saling bertentangan.

Dalam senarai yang diumumkan oleh Eto’o, beberapa nama besar digugurkan termasuk André Onana, Eric Maxim Choupo-Moting dan Vincent Aboubakar. Keputusan itu menguatkan lagi tanggapan bahawa konflik peribadi memainkan peranan besar dalam pemilihan pemain.

Sebaliknya, senarai versi Brys mengekalkan semua tonggak utama pasukan. Brys secara terbuka mengkritik sikap Eto’o yang disifatkannya sebagai narsistik dan menjejaskan kepentingan pasukan kebangsaan. Malah, beliau secara sinis mempersoalkan mengapa Eto’o sendiri tidak mengambil alih peranan jurulatih jika terlalu mahu mengawal keputusan teknikal.

Keadaan menjadi semakin rumit apabila Kementerian Sukan Cameroon secara terbuka menyatakan sokongan kepada Brys, manakala Eto’o pula terus menggunakan kuasa FECAFOOT sebagai saluran legitimasi.

Pertembungan ini mewujudkan ketidaktentuan yang serius, bukan sahaja kepada pemain, malah kepada status penyertaan Cameroon di AFCON.

Dengan tarikh akhir pendaftaran senarai pemain pada 21 Disember 2025 — hari kejohanan bermula — masa semakin suntuk. Jika krisis ini gagal diselesaikan, Cameroon bukan sahaja berdepan risiko prestasi buruk.

Ironinya, masalah utama Cameroon hari ini bukan kekurangan bakat, tetapi lebihan ego dan perebutan kuasa. Sebuah pasukan yang kaya sejarah dan pemain berkualiti kini terperangkap dalam konflik dalaman yang boleh menghancurkan peluang mereka sendiri.

Dan buat pertama kali, legasi Samuel Eto’o sebagai ikon dan penyelamat bola sepak Cameroon sedang dipersoalkan secara terbuka oleh rakyatnya sendiri.