Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mendedahkan beliau telah dihubungi oleh beberapa ketua negara sahabat yang menyatakan hasrat untuk menghantar bantuan susulan bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa wilayah di Sumatera.

Walaupun menghargai keprihatinan tersebut, Prabowo menegaskan Indonesia mempunyai keupayaan sendiri untuk mengurus dan menangani situasi berkenaan.

Perkara itu disampaikan Prabowo ketika mempengerusikan mesyuarat kabinet paripurna di Istana Negara, Jakarta, pada Isnin.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada menteri-menteri kabinet Indoesia, Panglima TNI, Ketua Polis Negara serta barisan kepimpinan angkatan tentera yang bertindak pantas dalam mengurus bencana di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.

Menurut Prabowo, beberapa pemimpin dunia secara peribadi menghubunginya bagi menawarkan bantuan kemanusiaan. Namun jawapan beliau jelas dan tegas. Indonesia, katanya, mampu mengendalikan krisis tersebut tanpa perlu bergantung kepada bantuan luar.

“Saya menerima banyak panggilan daripada ketua-ketua negara yang mahu menghantar bantuan. Saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan mereka, tetapi Indonesia mampu menanganinya,” katanya.

Dalam masa sama, Prabowo turut mengulas desakan segelintir pihak yang mahu bencana di tiga wilayah berkenaan diisytiharkan sebagai bencana nasional.

Menurut beliau, keadaan masih terkawal dan skala bencana tersebut melibatkan hanya tiga daripada keseluruhan 38 wilayah di Indonesia.

“Ada yang menjerit-jerit mahu ia diisytiharkan sebagai bencana nasional. Kita sudah kerahkan semua aset dan keupayaan. Ini hanya melibatkan tiga wilayah, dan situasi masih terkawal,” tegasnya.

Sebagai langkah susulan, Prabowo memaklumkan beliau akan turun padang melawat kawasan terjejas di Sumatera sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi memantau perkembangan semasa. Kerajaan juga sedang menyiapkan pelan pemulihan pascabencana, termasuk penubuhan badan atau pasukan khas bagi menguruskan kerja-kerja rehabilitasi dan rekonstruksi.

“Kita akan bina penempatan sementara dan juga penempatan kekal untuk mangsa yang terjejas. Semua ini sedang dirancang dan akan dilaksanakan segera,” katanya lagi.

Kenyataan ini sekali gus mencerminkan pendirian kepimpinan Prabowo yang mahu menampilkan keyakinan terhadap keupayaan negara sendiri, sambil tetap mengekalkan hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara sahabat.