Pasukan tuan rumah yang juga pasukan pilihan juara AFCON 2025, Maghribi memulakan kempen dengan langkah kanan.
Pasukan di tangga ke-11 dunia itu menewaskan Comoros 2-0 di hadapan penyokong mereka di Stade Prince Moulay Abdellah, Rabat.
Walaupun tampil sebagai pasukan pilihan, Maghribi berdepan tentangan sengit daripada Comoros pada separuh masa pertama.
Anak-anak buah Walid Regragui menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang berbahaya, namun ketumpulan penyudah serta aksi cemerlang penjaga gol Comoros, Yannick Pandor, memastikan kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga rehat.
Pandor turut menyelamatkan sepakan penalti Maghribi, sekali gus mengecewakan ribuan penyokong tuan rumah.
Kebuntuan tuan rumah akhirnya terlerai pada minit ke-55 apabila Brahim Díaz melepaskan rembatan tepat ke gawang selepas menerima hantaran kemas daripada Noussair Mazraoui.
Gol tersebut menaikkan tempo permainan Maghribi yang jelas lebih yakin selepas itu.
Comoros cuba bangkit dengan beberapa gerakan serangan balas, namun kualiti dan pengalaman pemain Maghribi jelas menjadi pemisah.
Masuk minit ke-74, stadium bergema apabila Ayoub El Kaabi menggandakan kelebihan Maghribi menerusi jaringan dengan sepakan gunting, sekali gus mengesahkan tiga mata penuh buat pasukan tuan rumah.
Kemenangan ini meletakkan Maghribi pada kedudukan terbaik untuk meneruskan kemaraan dalam kumpulan, meskipun mereka sedikit terganggu dengan kecederaan yang dialami kapten pasukan, Romain Saiss, yang terpaksa dikeluarkan sebelum tamat separuh masa pertama.
Bagi Comoros pula, kekalahan ini bukan perkara yang buruk. Kerana mereka berdepan dengan pasukan terkuat dalam AFCON kali ini.
Maghribi dijadualkan menentang Mali dalam aksi seterusnya, dengan misi untuk terus mengukuhkan status sebagai antara calon juara AFCON 2025.
Sementara Comoros pula akan menentang Zambia untuk aksi kedua mereka.