Datuk Seri Najib Razak telah dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun dan denda keseluruhan berjumlah RM11.38 bilion oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata beliau telah mengambil kira semua faktor mitigasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan serta faktor pemberatan yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan, petik The Star.
Baca Juga:
- Mahkamah Tinggi Tolak Permohonan Najib Razak Untuk Jalani Tahanan Rumah

- Najib Razak Dapat DNAA Kes Pengubahan Wang Haram RM27 Juta SRC International

- 1MDB: Akaun Bank Putera Saudi & Bekas Penasihat Media Najib Razak Dibekukan, Kenapa?

“Saya telah mempertimbangkan kes-kes yang dirujuk dan prinsip undang-undang yang terpakai. Saya juga telah mengambil kira kepentingan awam serta prinsip pencegahan, tempoh perkhidmatan awam tertuduh dan faktor-faktor mitigasi lain,” katanya.
Bagi empat pertuduhan pertama melibatkan penyalahgunaan kuasa, bekas Perdana Menteri itu dijatuhi hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan, manakala kegagalan membayar denda akan membawa kepada hukuman penjara tambahan selama 40 tahun.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan tanpa dikenakan sebarang denda.
Semua hukuman penjara tersebut diperintahkan untuk berjalan serentak.
Hakim Sequerah turut memerintahkan supaya tempoh hukuman penjara itu hanya berkuat kuasa selepas Najib selesai menjalani hukuman penjara selama enam tahun dalam kes SRC International.
Najib dijangka menamatkan tempoh hukuman penjara dalam kes SRC International pada 23 Ogos 2028.
Pasukan pembelaan Najib memohon supaya wang jaminannya dipulangkan, dan permohonan tersebut tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.
“Dalam keadaan ini, mahkamah memerintahkan supaya wang jaminan tersebut dipulangkan,” kata Hakim Sequerah.
Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan tidak memohon penangguhan pelaksanaan hukuman (stay of execution) buat masa ini.
“Namun, kami ingin perkara ini direkodkan bahawa ketiadaan permohonan penangguhan ini adalah dengan kebebasan untuk memohon pada masa hadapan,” katanya.
Hakim Sequerah berkata mahkamah mengambil maklum permohonan tersebut.