Kuala Lumpur bakal lebih bersih bermula 1 Januari 2026, apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempergiat penguatkuasaan terhadap mereka yang membuang sampah atau meludah di tempat awam.

Menurut sumber laporan BH Online, bukan setakat kompaun sehingga RM2,000, malah pelaku juga boleh dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat melebihi 12 jam selama enam bulan.

Baca Juga:

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) DBKL, Dr Nor Halizam Ismail berkata langkah tersebut selari dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Operasi antipembuangan sampah dan larangan meludah akan dijalankan secara berkala khususnya di kawasan tumpuan pelancong.

Ke Arah Kuala Lumpur Lebih Bersih

“Kompaun yang kita keluarkan boleh mencecah sehingga RM2,000 bergantung kesalahan yang dilakukan.”

“Tujuan kita bukan untuk menghukum semata-mata, sebaliknya ingin mendidik masyarakat untuk lebih berdisiplin dan menghormati ruang awam yang kita kongsi bersama,” ujar beliau.

Selain itu, DBKL juga memperkenalkan empat kawasan bebas sampah termasuk Jalan Bukit Bintang, Dataran Merdeka, Jalan Tun Perak, dan kawasan komersial Brickfield.

Langkah ini bertujuan memperkukuh imej ibu kota sebagai bandar raya yang bersih dan teratur. Selain itu, kebersihan premis makanan dan tandas awam turut diberi perhatian serius.

DBKL memantau lebih 7,450 premis makanan bagi memastikan tiada pencemaran atau pembiakan haiwan vektor seperti tikus dan lipas. Tandas awam juga dikawal rapi dengan pemantauan berterusan atau mengikut aduan orang awam.

Dalam perkembangan lain, DBKL bakal melancarkan acara “I LITE U” pada 3 Januari 2026 di Pavilion Kuala Lumpur sebagai pembuka tirai TMM 2026.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Perdana Menteri (JPM) dimana menampilkan perarakan 16 kontinjen, projek lampu inovatif, serta persembahan muzik dan kebudayaan Nusantara.

Disebabkan persiapan dan latihan raptai penuh, beberapa jalan utama di pusat bandar seperti Jalan Bukit Bintang, Jalan Raja Sultan, Jalan Pudu, dan Sultan Ismail akan ditutup pada 1 Januari dan semasa pelancaran dari 6 petang hingga 12 malam.

Orang ramai digalakkan menggunakan pengangkutan awam dan datang beramai-ramai untuk memeriahkan sambutan tersebut.

Sumber