Ekoran hasil tuaian Musang King yang melimpah di Malaysia sehingga harga jatuh, peminat durian di Singapura berpusu-pusu mendapatkan buah tersebut.
Peniaga durian yang ditemu bual The Straits Times berkata mereka telah menurunkan harga varieti durian premium tersebut.
Baca Juga:
- Musang King Indonesia VS Malaysia, Pekebun Ini Dedahkan Siapakah ‘Rajanya’

- Durian Musang King Malaysia Disahkan Sebagai ‘King Of Kings’

- Laku Keras, Rakyat Singapura Berebut Ikut Ahli Politik Seberang Malaysia Makan Bufet Durian Musang King

Mereka menambah bahawa jualan Musang King menunjukkan peningkatan sejak sebulan lalu.
Pemilik Durian Empire, Zen Ho, berkata beliau telah menjual durian Musang King pada harga antara $8-$18 (RM25-RM56) sekilogram sejak November, turun daripada purata $15-$24 (RM47–RM76) sekilogram sebelum ini.
“Ini merupakan harga terendah sejak 2018,” katanya.
Beliau menambah bahawa penurunan harga durian Musang King turut memberi kesan berantai kepada harga varieti durian lain.
Menurut Ho, dengan harga yang lebih rendah, jualan meningkat kira-kira 20 peratus bagi tempoh ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Namun, satu kelemahan hasil tuaian besar di Malaysia ialah jumlah durian yang dibekalkan ke kedainya melebihi kemampuan jualan.
Bagi meningkatkan jualan, Durian Empire yang terletak di Punggol Plaza menawarkan pelbagai promosi, termasuk menjual lima kotak durian pada harga $108 (RM349). Pada bulan Jun, satu kotak durian dijual pada harga sekitar $40 (RM126).
Harga durian Musang King turut menjunam di Malaysia susulan situasi lebihan bekalan yang digelar pemain industri sebagai ‘tsunami durian’, dengan penjual di utara menawarkan promosi yang menarik kehadiran orang ramai dalam jumlah besar.
Derrick Ooi, pemilik 211 House of Durian di Lorong 8 Toa Payoh, berkata lonjakan bekalan durian bermula tiga minggu lalu.
“Ini kali pertama dalam tempoh 10 tahun kami mengalaminya,” katanya.
Seperti Ho, Ooi berkata harga yang rendah telah menyebabkan perniagaan meningkat antara 30 hingga 40 peratus berbanding bulan-bulan sebelumnya.
Arthur Gan, pemilik Fresh Durian yang kebanyakannya beroperasi secara dalam talian, berkata jualan turut meningkat sejak November.
Ketika ini, beliau menerima lebih 100 pesanan sehari bagi pelbagai jenis durian termasuk Musang King, berbanding hanya 60 hingga 70 pesanan sehari sebelum ini.
Sejak Oktober, Gan menjual durian Musang King pada harga $35 (RM110) bagi 800 gram, turun daripada julat $60-$70 (RM189–RM221) pada bulan Jun dan Julai.
Bagaimanapun, peniaga durian tidak menjangkakan harga akan kekal selepas awal Januari kerana bekalan lazimnya berkurangan menjelang penghujung musim durian sekitar Januari dan Februari.
“Durian masih akan ada sehingga Tahun Baharu Cina, tetapi harganya akan berubah-ubah,” kata Ooi.