Kerajaan Malaysia dijangka akan membawa pulang semula dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diseleweng oleh beberapa individu utama menerusi laporan  eksklusif Berita Harian.

Antara yang menjadi tumpuan termasuklah Ketua Eksekutif PetroSaudi, Tarek Obaid, serta ahli keluarga Jho Low. Difahamkan, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang giat berusaha menuntut semula wang berjumlah RM600 juta daripada Tarek.

Difahamkan akaun-akaun bank milik keluarga Jho Low dijangka akan diserahkan semula kepada Kerajaan Malaysia tidak lama lagi. Segala wang dan aset daripada mereka kini sudah berada dalam “genggaman” SPRM, di mana jumlah keseluruhan yang bakal dibawa pulang dianggarkan mencecah RM5 bilion.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pihaknya kini sedang berbincang dengan beberapa negara luar, terutamanya Amerika Syarikat dan United Kingdom, untuk menyelesaikan proses pemulangan wang tersebut.

“Kita jangka akan peroleh sekitar RM5 bilion dan pelbagai tindakan dilakukan ketika ini termasuklah ke AS dan UK untuk mendapatkan penyelesaian bersama suspek kes 1MDB.

“Sebagai contoh, kita sedang berunding menerusi kaedah penyelesaian dengan Tarek, yang dijangka akan memulihkan RM600 juta,” katanya kepada BH.

Daripada keseluruhan RM42 bilion dana yang diselewengkan, kerajaan telah berjaya mendapatkan semula RM31.19 bilion. Usaha kini tertumpu kepada baki RM12 bilion yang masih hilang, dengan jangkaan awal bahawa RM5 bilion daripadanya akan berjaya dipulangkan ke negara tidak lama lagi.

Azam menegaskan pihaknya menjangkakan agensi antirasuah berkenaan mampu peroleh semula dana merangkumi aset berjumlah RM5 bilion.

Keseluruhan dana 1MDB yang diseleweng dan dikesan adalah sekitar RM42 bilion dan kita sudah berjaya memulihkan dana termasuk aset sekitar RM30 bilion.

“Jadi, bermakna ada lagi baki RM12 bilion, namun kita jangkakan akan memperoleh sekitar RM5 bilion lagi.

“Saya tidak tahu jumlah RM5 bilion itu akan dapat dibawa pulang pada tahun ini atau tidak tetapi SPRM sedang berusaha ke arah itu dan saya mahukan ia cepat (dipulihkan),” katanya.

Apabila ditanya bila SPRM akan dapat semula wang RM5 bilion itu, Azam berkata mereka tiada tempoh masa khusus, tetapi tindakan tengah rancak dijalankan.

“Seperti yang saya katakan, saya mahu ia diselesaikan segera tanpa ada penangguhan. Saya jangka dengan beberapa individu yang terbabit, SPRM akan memperoleh semula dana 1MDB berjumlah RM2.8 juta dahulu,” jelasnya.