Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang memantau sekurang-kurangnya tiga NGO popular yang dikesan menyalahgunakan wang derma orang ramai untuk mengumpul kekayaan peribadi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mendedahkan bahawa pertubuhan-pertubuhan ini disyaki mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil daripada kutipan dana yang sepatutnya digunakan untuk tujuan kebajikan.

Beliau melahirkan rasa kecewa terhadap segelintir pihak yang tergamak mengambil kesempatan atas ihsan rakyat demi memiliki ‘harta haram’.

Setakat ini, pihak SPRM telah pun menjalankan risikan serta siasatan mendalam dan bersedia untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana NGO yang mengkhianati amanah penderma.

“Dalam masa terdekat, akan ada lagi pertubuhan (NGO) yang bakal diambil tindakan mahkamah (oleh SPRM).

“Mereka masih ‘menunggang’ agama, mengutip duit berjuta-juta (tetapi wang) masuk ke dalam akaun peribadi chairman (pengerusi NGO). Mereka ini akan dituduh di mahkamah, tidak lama lagi,” katanya, kelmarin.

Malaysia yang senang merasa belas kasihan dan pantas memberi bantuan telah dieksploitasi oleh pihak yang tidak berintegriti untuk kepentingan sendiri.

“Rakyat tertipu kerana mereka suka membantu (golongan memerlukan) melalui dana awam. Mereka sangkakan duit didermakan itu untuk (membantu) orang susah. Contohnya, mangsa bencana banjir besar di Aceh, Sumatera.

“Namun (sifat pemurah) diambil kesempatan organisasi ini. Saya dapati ada organisasi ini (NGO) termasuk yayasan (disiasat SPRM) didaftarkan bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS),” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menimbulkan tanda tanya tentang keberkesanan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dalam mengawasi setiap aktiviti NGO serta yayasan berkenaan.

“Ini duit rakyat. (tetapi) rakyat kena tipu. Katanya duit (derma) dihantar ke Palestin tetapi ada ditukar kepada bentuk emas. Kenapa? Ke mana duit derma itu?

“Kami (SPRM) bukanlah agensi yang mengetuai semua perkara. Jabatan masing-masing perlu peka tentang apa yang berlaku. Kementerian-kementerian tertentu perlu pantau dan buka mata,” katanya kepada Harian Metro secara eksklusif.

Beliau menjelaskan bahawa sebelum ini pun, pihak SPRM telah mengambil langkah proaktif dengan mengenakan tindakan tegas terhadap beberapa pertubuhan yang didapati menyeleweng wang sumbangan rakyat.

“Ada ribuan NGO di luar sana yang berdaftar bawah ROS (namun) kami fokuskan kepada NGO yang terlalu obvious (ketara). NGO sebegini sentiasa bawah pemantauan SPRM,” katanya.

Sebelum ini, SPRM telah mengambil tindakan tegas terhadap beberapa NGO yang menguruskan bantuan ke Syria dan Palestin kerana terlibat dalam penyelewengan dana derma yang mencecah hampir RM100 juta.

Wang sumbangan orang ramai tersebut telah disalahgunakan untuk kepentingan peribadi, termasuklah bagi pembelian aset mewah serta pelaburan mata wang digital (kripto) yang jelas lari daripada objektif asal penubuhan NGO berkenaan.

Ekoran pengkhianatan amanah ini, pengerusi serta pegawai kewangan pertubuhan tersebut telah dikenakan tindakan termasuk pembekuan akaun bank.

Kes-kes ini disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna kuasa, serta Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001 yang melibatkan kesalahan pengubahan wang haram dan hasil daripada aktiviti haram.