Nama Malaysia seperti tidak lokek di bibir netizen atau menjadi tajuk sensasi di media massa dengan  pelbagai cerita menarik yang buatkan kita merasa sangat bangga sebagai rakyatnya.

Terbaharu, seorang pengguna Threads berkongsi pengalaman hospitaliti yang unik oleh seorang pemilik kedai di Bosnia sewaktu melancong ke sana.

'Macam Ada Deria Keenam' - Pak Cik Bosnia Ini Bangga Kibar Jalur Gemilang Setiap Kali Nampak Orang Malaysia
Sumber Gambar: Threads

Di dalam video yang dikongsikan, kelihatan sosok pak cik dari dalam kedai kecilnya langsung keluar sambil mengibarkan bendera Malaysia dengan bangganya apabila melihat lelaki tersebut.

Hal ini sekaligus membuatkan lelaki Malaysia itu teruja kerana mendapat pemilik kedai itu sepertinya sudah boleh mengecam rakyat Malaysia dari jauh lagi.

“Comell je Pakcik Bosnia nie kibarkan bendera MALAYSIA!! Macam tau2 je kite org Malaysia,” ujarnya.

Boleh lihat video di sini.

Rupanya ini bukan kali pertama ia terjadi kerana seorang lagi pengguna Threads berkongsi dia mengalami situasi yang sama dan pak cik itu memang mengenali orang Malaysia walaupun dari jauh seperti yang dipaaprkan di dalam video.

Menariknya, rakyat di Bosnia turut gemar beramah mesra dengan pelancong Malaysia. Mereka malah seperti mengenang budi akan jasa pemimpin Malaysia yang membantu mereka dikala kemelut pada tahun 90-an.

Hubungan istimewa antara Malaysia dan Bosnia-Herzegovina sebenarnya berakar umbi daripada bantuan besar yang diberikan oleh Malaysia semasa dan selepas Perang Bosnia (1992-1995).

Ketika banyak negara memilih untuk tidak campur tangan, Malaysia (di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu) adalah antara negara paling lantang mengutuk pembersihan etnik terhadap umat Islam Bosnia.

Malaysia mendesak PBB untuk bertindak tegas bagi menghentikan peperangan tersebut.

Malaysia juga menghantar pasukan tentera di bawah panji PBB (MALBATT) untuk melindungi orang awam di Bosnia. Selain itu, Malaysia memberikan biasiswa kepada anak-anak muda Bosnia untuk belajar di universiti tempatan (seperti UIAM).

Sehingga hari ini, rakyat Malaysia yang melancong ke Bosnia sering dilayan dengan sangat baik. Ada sesetengah tempat di Bosnia yang menganggap rakyat Malaysia seperti “saudara kandung” kerana pengorbanan kita sewaktu mereka dalam kesusahan dahulu.