Selepas lebih setahun menyepi dalam pasaran lelongan, banglo mewah milik usahawan kontroversi, Nur Sajat, akhirnya menemui pemilik baharu.

Kediaman yang terletak di lokasi eksklusif ini berjaya dijual pada harga RM3.73 juta dalam satu sesi lelongan yang diadakan pada hari Isnin lalu.

Lelongan Berakhir, Banglo Nur Sajat Akhirnya Jumpa Pemilik Baru Dengan Harga 'Closing' RM3.7 Juta
Sumber Gambar: FB

Berita gembira ini dikongsikan oleh seorang ejen hartanah, Ishaq Marazi, yang terlibat dalam proses tersebut.

Suasana lelongan kali ini dilaporkan agak rancak berbanding sebelum ini. Seramai empat orang pembida telah tampil untuk bersaing atau ‘bertarung’ bagi mendapatkan hartanah tersebut.

Sesi bidaan bermula dengan harga tawaran serendah RM3 juta, namun permintaan daripada para pembida telah menyebabkan harganya melambung naik sehingga RM730,000 tambahan, menjadikan harga akhir jualan mencecah RM3.73 juta.

Untuk rekod, kejayaan penjualan ini hadir selepas beberapa siri kekecewaan. Difahamkan, ini merupakan proses lelongan yang keenam diadakan selepas lima percubaan terdahulu gagal menemukan sebarang pembeli.

Nilai hartanah ini sebenarnya telah turun dengan ketara pada asalnya Sajat pernah cuba menjualnya pada harga RM9.5 juta sebelum berhijrah ke Australia, dan lelongan pertama pernah dibuka pada harga RM5.2 juta.

Malah, lelongan pada Jun tahun lalu dengan harga serendah RM3.41 juta pun tidak mendapat sambutan.

Banglo dua tingkat yang terletak di Selangor Polo Residency, Kota Damansara ini bukanlah calang-calang kediaman. Ia dilengkapi dengan enam bilik tidur dan tujuh bilik air serta mempunyai keluasan tanah yang sangat luas.

Walaupun banglo ini sudah terjual, identiti pembeli bertuah tersebut masih dirahsiakan dan tidak didedahkan kepada umum. Penjualan aset ini dilakukan bagi menyelesaikan urusan tertentu selepas Sajat meninggalkan Malaysia dan menetap di luar negara.

Sumber