Siapa yang tak suka makanan Cina? Dari Dim Sum yang panas sehinggalah ke Mi Tarik yang kenyal, semuanya memang membangkitkan selera. Tapi, pernah tak anda terfikir, adakah masakan Cina versi halal masih mengekalkan ‘soul’ atau rasa asli yang sama?

Kali ini, kita bukan tanya pakar masak, tapi kita tanya tuan punya badan sendiri. Jom ikuti respon jujur daripada rakan-rakan kaum Cina kita bila mereka mencuba hidangan kegemaran ramai ini dalam versi mesra Muslim. Agak-agak mereka luluskan tak?”

Perkara ini dibangkitkan oleh seorang pengguna media sosial yang masih tertanya-tanya dengan pandangan kaum cina tentang masakan cina muslim sama ada masih mengekalkan rasa asli serta kesedapannya berbanding versi yang tidak halal.

“Soalan pada org Cina yer.. hehe Pernah tak anda makan masakan cina muslim? Rasa dia sama tak dgn masakan kedai cina (yg non halal?) Teringin nk tahu..”, soalnya.

Hantaran pengguna media sosial ini mendapat pelbagai reaksi daripada kaum cina dan sudi berkongsi pendapat mereka berhubung perkara itu.

Respon Mengejutkan: Ada Yang Lagi Sedap

Asli Atau Tidak? Jom Dengar Apa Kata Kaum Cina Tentang Keenakan 'Chinese-Muslim Food'
Sumber Gambar: The Vibes

Menariknya, sebahagian individu berbangsa cina mendedahkan dia pernah merasai dan ada beberapa juadah yang rasanya jauh lebih sedap.

Seorang wanita berbangsa cina dengan susur galur keluarga yang majoritinya dalam bidang masakan malah berkongsi sebuah restoran yang menyajikan masakan cina versi halal yang memang sedap serta berjaya mengatasi restoran cina asli yang pernah dirasai selama ini.

Rahsia Di Sebalik ‘Wok Hei’ & Jiwa Masakan

Asli Atau Tidak? Jom Dengar Apa Kata Kaum Cina Tentang Keenakan 'Chinese-Muslim Food'
Sumber Gambar: Asia Inspiration

Dari segi keaslian rasa, memang wujud perbezaan yang ketara lebih-lebih lagi resepi yang menggunakan bahan tidak halal sebagai subjek utama.

Selain itu, ada yang mendapati masakan cina muslim juga tidak dapat memberikan rasa wok hei yang mantap seperti yang dimasak oleh chef cina yang asli.

Untuk lebih difahami, Wok Hei (Nafas Kuali) merujuk kepada aroma berasap (smoky) dan rasa khas yang terhasil apabila makanan dimasak menggunakan kuali besi dengan api yang sangat panas.

Selain itu, ia dianggap sebagai “jiwa” dalam masakan gorengan (seperti Char Kuey Teow atau Nasi Goreng).

Masakan ‘Malay-fied’ & Komersial

Asli Atau Tidak? Jom Dengar Apa Kata Kaum Cina Tentang Keenakan 'Chinese-Muslim Food'
Sumber Gambar: Berita Harian

Dalam pada itu, seorang lagi membangkitkan Masakan Cina versi rantaian halal sering terasa berbeza kerana kurangnya aroma ‘wok hei’ dan menunya yang telah diubah suai mengikut selera tempatan.

Di samping itu, dia berpendapat ia lebih bersifat komersial dan tidak sekuat rasa masakan Cina yang asli.

Pada akhirnya, sama ada sesuatu hidangan itu dilabel sebagai ‘autentik’ atau ‘komersial’, semuanya berbalik kepada cita rasa individu masing-masing.

Walaupun terdapat perbezaan dari segi teknik wok hei atau ramuan tertentu, kewujudan masakan Cina Muslim di Malaysia adalah satu bukti keindahan kepelbagaian budaya kita.

Ia bukan sekadar tentang mencari rasa yang 100% sama dengan versi asal, tetapi tentang bagaimana sebuah resepi boleh diolah dengan kreatif supaya dapat dinikmati bersama-sama tanpa ragu-ragu.

Seperti kata salah seorang responden tadi, jika air tangan itu datangnya dari jiwa, versi halal pun mampu menandingi kehebatan rasa tradisional.