Beberapa hari lalu, seorang netizen berkongsi gambar menerusi kumpulan media sosial “Complaint Singapore” yang kebiasannya untuk mengadu sesuatu perkara atau berkongsi isu semasa yang berlaku di negar itu.
Netizen itu memperlihatkan sebuah gambar yang memaparkan situasi di mana berlakunya perjumpaan kumpulan migran yang berpiknik di sekitar kawasan papan tanda Jalan Geylang/ Jalan Paya Lebar dan menggelarkan ia sebagai “Little Jakarta”.
“Little Jakarta” – Beginilah suasana meriah pekerja migran Indonesia menikmati hari Ahad mereka dengan berkelah besar-besaran di tepi jalan sekitar Singapura.
Pemandangan di kawasan Jalan Geylang / Jalan Paya Lebar ini memang dah jadi rutin setiap hujung minggu; ratusan orang berkumpul untuk makan-makan, bersembang, dan berehat bagi mengubat rindu pada kampung halaman,”tulisnya.
Hantaran terbabit langsung meraih perhatian warga tempatan tetapi respon yang diberikan memang benar-benar ‘win’ yang mana tidak seperti yang disangkakan oleh orang biasa lain.
“Mereka Pun Manusia, Jauh Dari Keluarga”
Berbanding amarah, ruangan komen dipenuhi dengan nada empati. Warga tempatan Singapura nampaknya lebih matang dan memahami penat lelah golongan ini.
“Biarlah mereka nikmati hujung minggu mereka. Mereka pun manusia juga, lagipun masing-masing jauh daripada keluarga.”
“Biarkan sajalah mereka. Ini bukti yang Singapura sebuah negara maju yang mampu bertoleransi dengan pelbagai ragam manusia, asalkan tak memudaratkan sesiapa.”
Sindiran Makan Dalam Untuk Warga Tempatan
Malah, ada yang tidak bersetuju dengan sikap sesetengah warga tempatan yang suka merungut sedangkan pekerja migran ini banyak berjasa kepada ekonomi negara.
“Mereka sanggup merantau ke sini untuk gaji yang kecil demi menyara keluarga di tanah air, jadi tak perlu ada yang nak merungut. Malah, ramai juga rakyat Singapura yang berkelakuan tidak sopan di kawasan awam mentang-mentanglah mereka warganegara.”
Susulan respon yang sangat positif ini, ramai komuniti imigran dari Indonesia dan Filipina menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih.
Bagi mereka, sikap memahami warga tempatan ini menjadikan mereka rasa lebih dihargai dan selamat untuk mencari rezeki di perantauan.
Ternyata, sikap toleransi dan sifat perikemanusiaan jauh lebih berharga daripada sekadar aduan di media sosial.