Tindakan luar biasa seekor kucing yang melarikan seekor ikan ke luar rumah berjaya menyelamatkan nyawa tujuh beranak dalam satu kebakaran membabitkan empat buah rumah di Kampung Solok Wan Moh, semalam.
Dalam kejadian tersebut, mangsa, Muhammad Norsham Bibin, 31, bersama isteri dan tiga anaknya sedang berada di dalam rumah apabila seekor kucing yang bukan peliharaan mereka tiba-tiba masuk dan mengambil ikan di atas meja.
Kucing itu kemudiannya membawa ikan tersebut keluar dan meninggalkannya begitu sahaja tanpa dimakan, seolah-olah cuba memberi isyarat tentang bahaya yang sedang berlaku.
Muhammad Norsham yang keluar untuk mengambil semula ikan tersebut terkejut apabila melihat kepulan asap tebal dari rumah bersebelahan, sekali gus membolehkan mereka sekeluarga menyelamatkan diri sebelum api merebak lapor Harian Metro.
“Saya cukup tersentuh dengan kelakuan kucing ini. Kebiasaannya, haiwan ini datang rumah dan tak pernah usik apa juga makanan diletakkan atas meja.
“Tetapi pada hari kejadian, kucing ini melarikan ikan seolah-olah hendak memberitahu ada bencana sedang berlaku di rumah sebelah. Saya terus beritahu isteri yang rumah jiran sedang terbakar dan kami terus menarik tangan anak-anak keluar,” katanya ketika ditemui.
Muhammad Norsham berkata, dia bersyukur kerana Allah menghantarkan kucing itu untuk memberitahu sesuatu walaupun dia sekeluarga gagal menyelamatkan semua harta benda.
“Saya bersyukur kerana asbab kucing, saya sekeluarga terselamat. Tiada siapa menjangkakan, kucing itu datang bukan nak makan, tapi nak beritahu kami apa yang sedang berlaku.
“Jika tidak saya pun tidak tahu apa nasib kami sekeluarga. Kebakaran itu turut menyebabkan Proton Iswara Aeroback dan basikal anak-anak ke sekolah rentung.
“Saya reda dengan ujian ini, yang penting semua ahli keluarga walaupun semua peralatan termasuk kelengkapan persekolahan anak-anak musnah sama sekali,” ujarnya.
Selain itu, seorang mangsa lain yang telah menepat lebih dua dekad lamanya tampil berkongsi yang dia hanya mengetahui rumahnya terbakar kira-kira 10 minit keluar ke tempat kerja.
“Saya dan isteri tidak sempat menyelamatkan apa-apa, yang tinggal baju dipakai ketika ke tempat kerja. Apabila diberitahu jiran, saya segera pulang namun api sudah membesar.
“Pada malam sebelum kejadian, berlaku gangguan elektrik di rumah namun berjaya dipulihkan. Tapi, saya tidak sangka ia berakhir dengan berita mendukacitakan,”keluhnya.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram, Norazizan Awang, memaklumkan bahawa seramai 19 anggota telah dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 8.53 pagi.
Kebakaran tersebut memusnahkan empat buah rumah sepenuhnya serta sebuah kereta, namun api berjaya dipadamkan sepenuhnya menjelang jam 9.20 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca kejadian serta jumlah kerugian masih lagi dalam proses siasatan.