Siapa sangka, pengalaman mahu mendapatkan lesen memandu di Malaysia boleh bertukar menjadi satu ‘mimpi ngeri’ buat seorang ekspatriat dari Amerika Syarikat.
Menerusi satu hantaran di Reddit, ekspatriat ini berkongsi pengalaman pahitnya di sebuah sekolah memandu di Kuala Lumpur.

Dia menyifatkan urusan di sini sebagai satu ‘mimpi ngeri birokrasi’ yang sangat menyusahkan, malah mendakwa sekolah memandu di Malaysia tak ubah seperti satu ‘scam’ atau penipuan.
Sebagai seorang pemandu yang sudah berpengalaman luas, ekspatriat ini mendakwa pengajar di sana langsung tidak memberikan latihan yang serius.
Bayangkan, selama empat jam beliau hanya disuruh memandu berpusing-pusing tanpa arah, sementara pengajarnya hanya berdiri di tepi jalan sambil merokok dan memerhati dari jauh.
Lebih menyakitkan hati, beliau secara sarkastik berkata bahawa satu-satunya ‘latihan’ yang betul-betul efisien di situ hanyalah ketika pihak sekolah menyerahkan jadual pembayaran.
“Temujanji pula ambil masa berbulan-bulan, dan langsung tiada fokus diberikan terhadap undang-undang jalan raya atau pemanduan berhemah (defensive driving),” tambahnya lagi dengan nada kecewa.
Apa yang lebih mengejutkan, ekspatriat ini mendakwa peralatan dan kenderaan yang disediakan oleh sekolah memandu tersebut sangat daif dan tidak lepas pemeriksaan keselamatan asas.
“Kenderaan yang disediakan memang lawak. Tayar motosikal yang saya guna untuk belajar semuanya pancit, malah lampu rendah pula terbakar. Hon pun hampir tidak berfungsi, dan pengajar pula sekadar suruh saya guna gear dua sepanjang masa,” katanya.
Dia turut meluahkan rasa berang kerana nyawa pelajar seolah-olah diperjudikan dengan kenderaan yang tidak layak berada di atas jalan raya.
“Menghantar pelajar keluar dengan ‘perangkap maut’ seperti itu bukan sekadar satu penipuan, tapi ia adalah satu liabiliti yang sangat besar!” tegasnya lagi.
Bagi mengakhiri luahannya, ekspatriat ini turut memberikan beberapa cadangan yang dirasakan mampu mengurangkan kerenah birokrasi, sekali gus melahirkan pemandu yang lebih cekap di Malaysia.
Dia menyarankan agar pemegang lesen penuh (CDL) dibenarkan untuk melatih pemegang lesen belajar (LDL) bagi latihan litar dan jalan raya untuk memudahkan proses.
Selain itu, dia berharap agar urusan mendapatkan lesen dijadikan lebih mudah, sambil menegaskan bahawa pihak berkuasa perlu lebih tegas dalam memastikan setiap calon pemandu benar-benar mematuhi peraturan.
Paling penting, dia menekankan yang sesi latihan sepatutnya dikendalikan oleh cikgu memandu yang benar-benar berdedikasi dan ikhlas mendidik, bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga.
Bagi warga asing ini, kualiti yang ditawarkan sangat tidak sepadan dengan bayaran yang dikenakan, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen mengenai tahap sebenar industri latihan pemanduan di Malaysia.
Adakah kita sudah terlalu selesa dengan standard ‘asal boleh’ ini?