Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Law Teik Hua menyatakan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang berpunca daripada pembangunan bandar yang tidak terancang dengan pelan mobiliti serantau, serta cabaran keterhubungan dalam sistem pengangkutan awam.
Menurut beliau, banyak pembangunan baharu tidak diintegrasikan secara menyeluruh dengan pelan mobiliti serantau. Kesannya, aliran trafik tertumpu di laluan tertentu hingga mewujudkan titik sempit (bottleneck) trafik yang kronik, lapor Berita Harian.
“Rangkaian pengangkutan awam, walaupun semakin berkembang, masih berdepan cabaran dari segi akses mudah dari kawasan kediaman ke stesen dan dari stesen ke destinasi akhir, sekali gus mendorong orang ramai terus menggunakan kenderaan persendirian,” katanya kepada Berita Harian.
Jelasnya lagi, permintaan perjalanan dan kapasiti infrastruktur tidak seimbang turut memburukkan keadaan kerana pertumbuhan kawasan perumahan dan komersial tidak selari dengan keupayaan jalan raya serta sistem transit.
Kesesakan meningkat, masalah meningkat
Selain peningkatan masa perjalanan 20 hingga 50 peratus oleh disebabkan kesesakan lalu lintas, masalah itu turut memberikan implikasi kepada psikologi dan ekonomi.
“Tekanan berulang setiap hari boleh menyumbang kepada keletihan kronik, gangguan tumpuan, seterusnya meningkatkan risiko kemalangan kecil.
“Dari perspektif ekonomi pula, kesesakan menyumbang kepada pembaziran bahan api, peningkatan pelepasan karbon dan kerugian berbilion ringgit setahun akibat kehilangan jam produktif.
“Secara makro, ia menjejaskan daya saing bandar dan kesejahteraan sosial,” katanya.