Prestasi mata wang Ringgit Malaysia (MYR) yang kian mengukuh berbanding Rupiah Indonesia (IDR) kini menjadi topik hangat dalam kalangan netizen.

Perubahan ketara ini mula disedari ramai selepas perbandingan nilai tukaran dalam tempoh singkat menunjukkan trend kenaikan yang positif bagi mata wang tempatan.

Gara-Gara IDR Merosot Teruk, Rakyat Malaysia Bengang 'Supir' Di Indonesia Paksa Bayar Guna Ringgit"
Sumber Gambar: Google

Berdasarkan data pasaran terkini (April 2026), nilai RM1 kini mencecah sekitar 4,337 rupiah. Ini bermakna, nilai 4,000 rupiah yang dahulunya setara dengan RM1, kini jatuh dan hanya bersamaan dengan kira-kira RM0.92 sahaja.

Fenomena “Ringgit Perkasa” ini bukan sahaja memberikan kelebihan buat rakyat Malaysia yang merancang untuk bercuti ke negara jiran, malah mencerminkan ekonomi semasa yang semakin memihak kepada pengukuhan nilai Ringgit di rantau ini.

Selaras dengan itu, tidak hairanlah ramai warga tempatan berminat untuk melantik ‘supir’ atau nama biasanya iaitu pemandu untuk bercuti di negara jiran pada saat ini.

Bagaimanapun, timbul kekusutan di dalam kalangan rakyat Malaysia apabila difahamkan semakin ramai pemandu yang menyediakan pengangkutan kini menetapkan pembayaran upah hanya dalam Ringgit Malaysia sahaja dan bukan Rupiah Indonesia.

“Duit indo makin turun tapi supir-supir dekat sana pun terus tukar minta bayaran dalam Ringgit Malaysia,” keluh seorang wanita tempatan.

Ini bukanlah satu-satunya senario yang dihadapi kerana ada seorang netizen lain turut berkongsi satu tangkap layar yang memperlihatkan seorang pemandu di Indonesia yang mengiklankan servisnya dengan upah dalam Ringgit Malaysia.

Gara-Gara IDR Merosot Teruk, Rakyat Malaysia Bengang 'Supir' Di Indonesia Paksa Bayar Guna Ringgit"
Sumber Gambar: Threads @shaff_isqandar

“Meninggal Nok!” – Caj Melampau Hingga RM300 Sehari

“Kita survey ade yg sehari dia amik RM300 ya. Meninggal nokkkkkkk,”

“Patut la survey baru ini 4hari3malam di medan mencecah RM1,100…normal ke weyh?” soal seorang netizen yang dalam kebingungan dengan penetapan harga sedemikian.

Ujar seorang netizen, dia sama sekali tidak kisah untuk memberi wang lebih dari servis yang ditawarkan asalkan tidak meminta-minta atau meletakkan syarat pelik sebegini.

Seorang netizen turut mendakwa pemandu mahupun kereta sewaan telah meletakkan kadar bayaran dalam Ringgit Malaysia sekaligus membebankan pelanggan kerana perlu menanggung kelemahan nilai matawang negara mereka pula.

Seorang individu lagi membuka cerita bagaimana dirinya telah diambil kesempatan oleh warga setempat yang didakwa sengaja menaikkan caj servis dan barangan dan hanya memberitahu sebab berbuat sedemikian kerana ringgit sudah naik.

Lebih mengejutkan lagi, seorang netizen mendedahkan kadar kenaikan caj servis mencecah 5 sehingga 6 kali ganda lebih tinggi menjadikan ia sudah sama seumpama harga caj servis di Malaysia pula.

Susulan trend drastik penetapan pembayaran dalam bentuk MYR tersebut, sebahagian netizen mencadangkan orang ramai untuk berurusan dengan agensi pelancongan atau pemandu yang benar-benar hanya mengambil bayaran dalam IDR sahaja.

Dengan berbuat sedemikian, ia akan memberi tekanan kepada pihak pemandu untuk bertukar transaksi kembali kepada sedia kala tanpa mengambil kesempatan untuk kaut keuntungan mudah.

Namun begitu, pengecualian boleh diberikan jika pemandu menetapkan bayaran dalam RM berdasarkan kadar pertukaran mata wang yang adil, tanpa memanipulasi harga asal untuk mengaut untung mudah.