Pada Ahad lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) telah melaksanakan operasi bersepadu ke atas kegiatan perkhidmatan fotografi (ulat gambar) tanpa kebenaran yang dijalankan di tempat awam.

Penguatkuasaan ‘Op Lens’ Siri 6/2026 dibuat di kawasan tumpuan awam sekitar di Pintasan Saloma dan persiaran KLCC, petik hantaran Facebook DBKL.

Hasil penguatkuasaan itu, DBKL mengeluarkan sejumlah 4 notis kompaun terhadap individu yang didapati menjalankan perkhidmatan tanpa kebenaran serta membuat 3 sitaan keatas pelbagai peralatan termasuk telefon bimbit.

“Sehingga 19 April 2026, sejumlah 23 notis kompaun, membuat 28 tindakan sita peralatan termasuk 7 daripadanya bukan warga negara serta menyerahkan 4 notis kepada individu (ulat foto) yang berkenaan untuk hadir bagi tindakan mahkamah kerana gagal membayar notis kompaun.

“Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan menerusi kesalahan dibawah UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” kata DBKL.

Sementara pihak JIM dan JPN telah memeriksa 31 orang individu melibatkan pemeriksaan ke atas dokumen pengenalan diri termasuk 4 orang individu telah diberikan surat akuan penahahan dokumen JPN menerusi Akta Pendaftaran Negara 1959 di bawah Peraturan 21(1)(c), Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) untuk hadir dan siasatan lanjut kesahihan dokumen pengenalan diri serta status kerakyatan individu-individu berkenaan.