Impian melihat Itali kembali ke pentas Piala Dunia 2026 mencetuskan perdebatan hangat — tetapi pihak atasan negara itu sendiri tampil menolak idea tersebut.

Semuanya bermula apabila Paolo Zampolli, seorang pegawai khas kepada Donald Trump, mencadangkan agar Itali menggantikan Iran di Piala Dunia 2026.

Trump
Foto: X

Cadangan itu timbul dalam konteks ketegangan geopolitik yang melibatkan Iran, sekali gus membuka ruang spekulasi tentang kemungkinan perubahan peserta kejohanan.

Selain itu, Zampolli yang berdarah Itali-Amerika yakin jika Trump menggunakan kuasanya untuk melobi FIFA agar Itali beraksi di Piala Dunia, ianya mampu memperbaiki hubungan tegang antara Trump dan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.

Trump dan Meloni tidak sehaluan dalam isu berkaitan dengan Iran baru baru ini.

Itali tak setuju

Namun, reaksi dari Itali jelas iaitu mereka tidak setuju sama sekali.

Menteri Sukan Itali, Andrea Abodi, menegaskan bahawa penyertaan ke Piala Dunia tidak boleh diberikan secara “jalan belakang”.

“Ia tidak sesuai. Anda perlu layak di atas padang,” tegas Abodi.

Nada yang sama turut disuarakan Presiden Jawatankuasa Olimpik Itali (CONI), Luciano Buonfiglio, yang menyifatkan idea tersebut sebagai sesuatu yang memalukan.

“Saya akan rasa tersinggung. Untuk ke Piala Dunia, anda perlu layak atas padang bukan jemputan,” katanya.

Itali terima kegagalan mereka

Realitinya, Itali memang gagal layak ke Piala Dunia 2026 selepas tewas kepada Bosnia & Herzegovina dalam aksi play-off.

Ini merupakan kali ketiga berturut-turut mereka terlepas pentas terbesar bola sepak dunia.

Walaupun berstatus juara dunia empat kali, prestasi semasa jelas tidak mencukupi untuk melayakkan mereka secara merit.

Dan Itali menerima kegagalan mereka sebagai ‘lelaki sejati’ bukannya cuba mencari jalan lain untuk ke Piala Dunia.

Tidak mahu jadi alat politik Trump

Selain itu cadangan menggantikan Iran sebenarnya lebih bersifat politik berbanding bola sepak.

Namun FIFA sendiri tidak menunjukkan sebarang petanda untuk melakukan perubahan tersebut, dan Iran masih dijangka beraksi seperti biasa di kejohanan itu.

Malah, jika berlaku sebarang penggantian sekalipun, sistem FIFA biasanya akan memilih pasukan dari konfederasi yang sama — bukannya memberi peluang kepada Itali.

Maruah lebih penting

Apa yang jelas, Itali memilih untuk menjaga maruah bola sepak mereka.

Daripada menerima “tiket percuma”, mereka lebih rela membina semula pasukan dan kembali layak secara sah di masa depan.

Satu pendirian yang mungkin pahit — tetapi itulah semangat sebenar sukan.