Muzahid Millad, pelancong warga Bangladesh yang maut dalam nahas yang disyaki berpunca daripada pemandu mabuk awal pagi semalam, telah dikenal pasti oleh para peminatnya sebagai pencipta kandungan permainan video, Advance Gaming.
Berita kematian beliau telah mencetuskan rasa dukacita dan laungan menuntut keadilan di seluruh media sosial Bangladesh.
Komuniti permainan video dalam talian di Bangladesh giat menyebarkan tanda pagar seperti #JusticeForMuzahid, #JusticeForAdvanceGaming, #BangladeshDemandsJustice dan #advancegaming memandangkan gesaan menuntut pihak yang bersalah dipertanggungjawabkan semakin memuncak susulan kemalangan maut tersebut.
Muzahid, 22, terkorban apabila kenderaan e-Hailing yang membawa beliau bersama isterinya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilanggar di Lebuhraya MEX.
Isterinya, Nafisa Tabassum Adiba, 23, mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Pasangan yang berasal dari Habiganj itu telah tiba di Malaysia untuk bercuti dan merancang untuk meluangkan masa selama seminggu di Kuala Lumpur.

Menerusi satu hantaran di YouTube Advance Gaming dan Facebook Advance Esports kongsikan kenyataan rasmi berhubung kematian pencipta kandungan tersebut.
“Dengan rasa amat berdukacita, dikongsikan bahawa Advance Gaming, atau Muzahid, telah meninggal dunia pada pagi ini (23 April) berikutan satu kemalangan di Malaysia.
“Advance Gaming merupakan seorang pencipta kandungan yang telah menghasilkan banyak video. Sekiranya ada tutur katanya yang mengguris hati sesiapa, semoga beliau dimaafkan. Mohon doakan beliau dan semoga Allah menempatkannya di syurga”.
Hantaran tersebut mengundang pelbagai ucapan takziah di ruangan komen.
Hantaran dan video penghormatan yang dikaitkan dengan Muzahid juga kelihatan di dalam talian, mencerminkan rasa terkejut dalam kalangan para pengikutnya atas pemergian beliau.